31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Muhyiddin gagal dapat pasport secara kekal

Mesti Baca

TAN Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa, hari ini gagal mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Azura Alwi membuat keputusan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati adalah pramatang pada peringkat ini untuk membenarkan permohonan Muhyiddin mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport tanpa syarat.

Azura berkata, ia adalah kerana Muhyiddin masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Katanya, Presiden BERSATU itu masih boleh memohon untuk mendapatkan pasportnya secara sementara dan ia tidak memprejudiskannya.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan meneliti afidavit serta hujahan bertulis, mahkamah berpuas hati bahawa permohonan untuk mengubah syarat jaminan dan melepaskan pasport tanpa syarat adalah dengan ini ditolak.

“Jika pun mahkamah bersetuju keputusan mahkamah yang membatalkan empat tuduhan (menggunakan kedudukannya untuk rasuah) mewujudkan keadaan perubahan material, pemohon masih perlu memberi alasan kukuh dalam permohonannya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan bekas Perdana Menteri itu melalui peguamnya Datuk K Kumaraendran mendapatkan pasportnya untuk sementara bermula hari ini dan dikembalikan semula ke mahkamah pada 15 Januari tahun depan.

Advertisements

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Muhyiddin menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Pengerusi PN itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi BERSATU. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Oppa’ adaptasi kisah guru jadi mangsa ‘Love Scam’

TIDAK dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit. Kejadian...

Lagi Artikel Berkaitan