TINDAKAN menggodam akaun media sosial milik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah terdesak dan pengecut.
Demikian ditegaskan Pengarah Jentera BN bagi PRK Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang kesal dengan insiden tersebut telah mengarahkan laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Saya kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menggodam akaun Facebook calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.
“Tindakan ini merupakan usaha terdesak dan pengecut oleh pihak-pihak tertentu untuk melemahkan sokongan pengundi Kemaman kepada Tan Sri Raja Mohamed Affandi yang popularitinya terus meningkat menjelang hari pengundian Sabtu ini,” katanya.
Ahmad yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, beliau percaya insiden seperti itu tidak sesekali melemahkan semangat juang Raja Mohamed Affandi dan seluruh jentera parti.
Katanya, calon BN itu dan seluruh jentera sedang bertungkus-lumus berkempen bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK Kemaman yang akan berlangsung Sabtu ini.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi melahirkan rasa kecewa apabila mendapati akaun rasmi Facebooknya digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Rasa kecewa ini kerana kaedah yang digunakan dalam peperangan PRK adalah secara tidak sihat.
“Saya tidak tahu apakah tujuan penggodam akan tetapi saya yakin ia adalah salah satu cara melemahkan kempen BN dalam PRK Kemaman ini,” katanya menerusi media sosialnya.
Difahamkan semua pentadbir akaun Facebook Raja Mohamed Affandi itu telah dipadam dan diambil alih oleh pihak lain.
Sebelum ini, ada usaha untuk menduakan akaun Facebook tersebut menggunakan akaun palsu tetapi telah dipadamkan selepas laporan dibuat kepada pihak Meta.
Dalam PRK Kemaman Sabtu ini, Raja Mohamed Affandi yang juga mantan Panglima Angkatan Tentera berdepan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Perikatan Nasional (PN).
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – Edisi 9