26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Tujuh kebaikan jika Pas sertai Kerajaan Perpaduan – Asyraf

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan tujuh kebaikan untuk umat Islam dan orang Melayu sekiranya Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, antara kebaikan itu ialah tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong Pas yang mengkafirkan atau menyesatkan mana-mana pihak terutamanya terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka.

“Kebaikan lain seperti, tiada lagi isu ‘Islam terancam’ dan ‘Melayu terancam’ sebagaimana yang sering disebarkan dalam pelbagai media dan pentas ceramah.

“DAP sekali lagi akan disucikan dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika mereka bersama dalam gabungan untuk hadapi PRU (pilihan raya umum) tahun 1999, 2004 dan 2008,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Asyraf Wajdi secara sinis juga berkata, UMNO akan kembali dibersihkan dan tiada lagi kata nista seperti parti sesat, kafir, ahli neraka, munafik dan pelbagai gelaran oleh parti itu sebagaimana 22 bulan bersama Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah.

“Tiada lagi istilah Malaysia menuju negara sekular kerana bersekongkol dengan parti DAP yang dilabelkan kafir dan sekular.

“Tiada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya yang mempunyai orang Melayu Islam seperti UMNO, Amanah dan PKR yang akan dilabel ‘barua DAP’, ‘penjilat DAP’ atau label-label ‘kafir’, ‘toghut’ dan sebagainya apabila Pas sertai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kebaikan terakhir katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali dijulang Pas sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana sewaktu PRU ke-10, ke-11 dan ke-12 dahulu.

Seolah-olah menyambut baik kehadiran Pas bersama Kerajaan Perpaduan, Asyraf Wajdi berkata, penyertaan parti itu pasti menurunkan suhu politik negara.

Advertisements

Katanya, ini sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa beliau pernah menjemput Pas menganggotai Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, Pas sebaliknya bertindak menolak tawarannya ketika itu.

Namun begitu beliau memberi ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti berkenaan jika ia wujud pada masa akan datang.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak menerima sebarang pelawaan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya secara sinis beliau berkata, tawaran itu hanya diberikan Perdana Menteri kepada Time Magazine tidak kepada Pas.

“Tawaran itu terbuka kepada Time magazine, tapi kita belum terima apa-apa (tawaran),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberi harapan bahawa parti itu akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi

Beliau juga dilaporkan telah memberikan isyarat bahawa Muktamar Pas tidak akan menghalang sebarang perbahasan mengenai kemungkinan menyertai Kerajaan Perpaduan.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan