
CADANGAN UMNO mencetuskan satu kolaborasi agung antara parti-parti Melayu-Islam bukan sekadar lontaran retorik pasca-perhimpunan atau permainan istilah politik yang sarat emosi bangsa.
Ia adalah satu ‘ujian besar’ terhadap sejauh mana kejujuran politik semua parti Melayu-Islam yang selama ini lantang bercakap soal perpaduan, tetapi sering gagal membuktikannya apabila berhadapan dengan realiti kuasa.
Hakikatnya, UMNO sedang menghantar mesej yang jelas. Politik Melayu tidak boleh terus terpecah atas nama dendam, trauma sejarah dan persaingan sempit, ketika asas kekuatan Melayu-Islam berdepan tekanan berlapis dari sudut ekonomi, pendidikan, budaya dan representasi kuasa.
Penegasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerjasama ini bukan untuk menggugat Kerajaan Madani perlu dibaca secara strategik, bukan defensif.
UMNO sedar, sebarang usaha penyatuan Melayu yang dilihat sebagai cubaan menjatuhkan kerajaan hanya akan mengulangi kegagalan Muafakat Nasional dan Langkah Sheraton yang akhirnya melemahkan kepercayaan rakyat terhadap politik Melayu itu sendiri.
Lebih menarik, Zahid tidak menamakan Pas dan Bersatu secara spesifik, satu langkah politik yang cermat.
Ini bukan soal takut atau teragak-agak, tetapi satu isyarat bahawa UMNO tidak lagi mahu menjadi pihak yang merayu.
Bola kini berada di kaki parti-parti yang selama ini mendakwa merekalah juara penyatuan ummah.
Realitinya, sukar mengharapkan sokongan tulen daripada Pas dan Bersatu. Kedua-duanya telah lama membina naratif bahawa UMNO adalah “liabiliti politik Melayu”.
Maka, jika Pas dan Bersatu menyambut salam kerjasama agung daripada UMNO, bermakna mereka perlu menelan semula retorik sendiri, sesuatu yang mahal dari segi maruah politik.
Kenyataan Zahid bahawa gagasan ini “lebih tinggi daripada Muafakat Nasional” wajar diberi perhatian serius.
Ia membawa maksud UMNO tidak lagi berminat dengan kerjasama longgar, tanpa struktur, tanpa disiplin, dan tanpa kejujuran kuasa. Lagipun Muafakat Nasional sudah menjadi sebuah pertubuhan NGO!
Harus diingat bahawa Muafakat Nasional runtuh bukan kerana idea perpaduan itu salah tetapi kerana ketiadaan kepimpinan dominan dan keikhlasan bersama.
Sindiran Zahid terhadap idea payung besar Melayu Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu “apalah gunanya kalau tanpa UMNO”, bukan kenyataan angkuh tetapi berpijak pada fakta sejarah.
Setiap gagasan besar Melayu yang berjaya dalam sejarah politik negara ini berakar daripada UMNO, sama ada mahu diakui atau tidak.
Menafikan hakikat itu hanya akan menghasilkan pakatan rapuh yang bertahan selagi ada musuh bersama.
Dalam konteks lebih luas, kerjasama agung ini sebenarnya cubaan UMNO untuk “merampas” kembali naratif kepimpinan Melayu-Islam yang telah dimomokkan melalui sentimen kemarahan dan politik kebencian pasca-PRU15.
UMNO mahu mengembalikan wacana penyatuan kepada kerangka tanggungjawab sejarah bukan jeritan populis.
Namun, UMNO juga tidak boleh naif. Jika gagasan ini sekadar mahu membuktikan siapa lebih besar, siapa lebih dominan, ia akan berakhir sebagai satu lagi episod kegagalan yang memakan diri.
Perpaduan Melayu tidak boleh dibina atas ego, tetapi ia juga tidak boleh hidup tanpa kepimpinan yang jelas.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan sama ada kolaborasi agung ini akan diterima Pas atau Bersatu.
Persoalan lebih besar ialah, siapa yang benar-benar ikhlas mahu menyatukan Melayu-Islam dan siapa yang hanya mahu memonopoli sentimen itu untuk kelangsungan politik sendiri?
Di sinilah sejarah bakal menghakimi! — Edisi 9

