AMANAHRAYA Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) memberi komitmen penuh terhadap aspek keselamatan serta kerjasama menyeluruh dengan pihak berkuasa susulan siasatan berhubung insiden di Universiti HELP, Bukit Damansara, Kuala Lumpur Isnin lalu.
Menurut AmanahRaya REIT, pihaknya melalui AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. telah bertindak pantas sejak 12 Januari lalu dengan melaksanakan penilaian menyeluruh di kawasan terjejas termasuk struktur sekitarnya, selain melantik pasukan forensik bebas bagi menyokong proses siasatan yang telus dan profesional.
Kata AmanahRaya REIT, pihaknya turut memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta perkhidmatan kecemasan bagi memastikan semua aspek keselamatan ditangani secara menyeluruh.
“Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada peranan berterusan AmanahRaya REIT dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, dengan kerjasama Universiti HELP dan pihak berkuasa berkaitan, dengan objektif bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, kakitangan serta pelawat.
“Ini termasuk semakan dan pelaksanaan penyelenggaraan rutin serta protokol keselamatan sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan aset yang berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AmanahRaya REIT berkata, pihaknya turut mengambil maklum pendirian pihak berkuasa bahawa siasatan masih berjalan dan tiada sebarang kesimpulan muktamad dicapai setakat ini.
Sehubungan itu, pihaknya menyokong sepenuhnya proses penyiasatan dan akan terus memberikan kerjasama sehingga semua penemuan disahkan.
Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT memaklumkan ia bekerjasama dengan Universiti HELP serta pengurus hartanah yang dilantik, Knight Frank Malaysia Sdn. Bhd., bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah pencegahan di premis terjejas.
Langkah tersebut, menurut kenyataan itu, merupakan sebahagian daripada tanggungjawab berterusan AmanahRaya REIT dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, termasuk pelaksanaan penyelenggaraan rutin serta pematuhan protokol keselamatan sebagai amalan pengurusan aset yang berhemah.
“AmanahRaya REIT kekal komited untuk menyokong Universiti HELP dan komuniti kampus sepanjang tempoh ini, dan memastikan semua tindakan yang diambil berpandukan penilaian profesional dan keperluan kawal selia,” katanya.
AmanahRaya REIT merupakan dana pelaburan hartanah tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia sejak 2007 dan memiliki portfolio hartanah pelbagai sektor bernilai RM1.297 bilion setakat 31 Disember 2024.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Isnin lalu, seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala sembilan lagi cedera akibat letupan gas penyaman udara dalam kampus universiti itu.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan pekerja kontraktor penyelenggaraan pendingin hawa tersebut manakala lapan daripada sembilan yang cedera merupakan pelajar universiti swasta tersebut. — Edisi 9

