Tuesday, July 21, 2026

UMNO tegas pertahan kepentingan Melayu – Wan Rosdy

Rumah Bangsa bukan sahaja simbol penyatuan orang Melayu, malah perlu bersifat inklusif dan bersedia meneduhi lebih ramai rakyat selaras dengan realiti masyarakat majmuk negara ini.

Mesti Baca

UMNO mesti terus diperkasakan sebagai Rumah Bangsa yang menjadi tempat bernaung orang Melayu dan Bumiputera, di samping kekal berperanan sebagai parti tunjang kestabilan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO perlu diterjemahkan di semua peringkat akar umbi bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menjelang pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, Rumah Bangsa bukan sahaja simbol penyatuan orang Melayu, malah perlu bersifat inklusif dan bersedia meneduhi lebih ramai rakyat selaras dengan realiti masyarakat majmuk negara ini.

“Rumah Bangsa tidak boleh diterjemah sebagai hanya meneduhi bangsa Melayu semata-mata seperti mana kita pernah juga menjadi tempat bernaung rakan-rakan bangsa lain dalam Barisan Nasional (BN).

“Kini kita mesti lebih bersedia untuk menjadikan Rumah Bangsa ini tempat bernaung lebih ramai lagi bagi memastikan ianya menjadi simbol perpaduan dan penjaga kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Wan Rosdy menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar rakan pelengkap, sebaliknya sebuah parti yang memikul tanggungjawab besar mempertahankan kepentingan orang Melayu, kesucian Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Beliau mendedahkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, secara berterus terang telah menyuarakan ketegasan itu kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan, termasuk Perdana Menteri, khususnya dalam isu-isu sensitif melibatkan agama, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa dan budaya kebangsaan.

“Ketegasan Datuk Seri Presiden, membuatkan kita lega dan memberi keyakinan kepada kita bahawa kehadiran UMNO dalam kerajaan hari ini bukan semata-mata soal kuasa, tetapi mempunyai soal tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu, kesucian Agama Islam, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy turut menekankan usaha memperkukuh kesiapsiagaan parti melalui latihan dan pembangunan kepimpinan, antaranya menerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO (MPL) serta Sekolah Patriotik UMNO (SPU).

Menurut beliau, SPU yang kini memasuki tahun kedua penubuhannya telah berjaya melahirkan barisan anak muda berfikiran strategik dan berani berjuang, sekali gus berpotensi menjadi pemimpin masa depan negara.

Wan Rosdy turut mengulangi pendirian konsisten UMNO dalam memperjuangkan keadilan buat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sambil menghargai keberanian Presiden UMNO yang secara terbuka memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong agar bekas Perdana Menteri itu diberikan keadilan sewajarnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar menjaga tutur kata dan menghormati sensitiviti UMNO sebagai sebuah parti besar Melayu.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya, Wan Rosdy menegaskan bahawa UMNO tidak boleh terus dibelenggu perpecahan dalaman, sebaliknya mesti bergerak sebagai satu pasukan dengan mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Beliau turut mengetengahkan pencapaian Kerajaan Negeri Pahang di bawah pentadbirannya sebagai bukti keupayaan UMNO mentadbir dengan berkesan, termasuk pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, peningkatan hasil negeri serta pelbagai inisiatif kebajikan rakyat. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan