32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Wanita GRS setuju jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal

Mesti Baca

PERGERAKAN Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata ia bagi membolehkan penyandangnya mempunyai masa yang cukup bagi melaksanakan program pembangunan yang dirancang untuk rakyat negeri berkenaan.

Katanya, dengan mengambil kira pencapaian Ketua Menteri ketika ini, Datuk Seri Hajiji Noor yang sudah genap tiga tahun menyandang jawatan, tempoh dua penggal itu dianggap sesuai untuk beliau meneruskan khidmat.

“Wanita GRS berpandangan bahawa dalam tiga tahun ini prestasi Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri begitu cemerlang dan meyakinkan.

“Pelbagai projek pembangunan diadakan dan sedang dirancang untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

September tahun lalu, Hajiji memaklumkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal sudah dipersetujui Kabinet negeri dan boleh dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Negeri.

Advertisements

Sabah pernah mengguna pakai sistem penggiliran Ketua Menteri kepada dua tahun sekali, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1994.

Penggiliran di antara pemimpin mewakili Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera itu bagaimanapun ditamatkan selepas Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 pada 2003.

Sementara itu, Azizah berkata Wanita GRS juga berpendapat saiz Kabinet negeri ketika ini wajar dibesarkan dengan menambah tiga lagi kementerian baharu untuk menjadikan ia 14.

Pada masa sama, katanya Wanita GRS juga bersetuju agar jawatan Pembantu Menteri ketika ini dimartabatkan dan dinamakan sebagai Timbalan Menteri seperti dilakukan kerajaan Sarawak.

“Wanita GRS berpandangan sudah tiba masanya nama jawatan itu dimartabatkan, selain menambah kementerian baharu dengan melihat keadaan di Semenanjung ada kementerian untuk pendidikan, wanita dan kesihatan.

“Wanita GRS mencadangkan agar salah satu kementerian baharu itu nanti ialah Kementerian Hal-Ehwal dan Pembangunan Wanita,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan