Monday, July 20, 2026

Pengerusi PN: Pas akhirnya terpaksa tagih Muhyiddin kembali?

Jika Pas sebelum ini mendakwa mereka sedia menerajui PN, namun nyata itu hanya tinggal retorik apabila sehingga kini nakhoda PN masih belum berganti.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh AZIZI MAJID

KETIADAAN pengerusi Perikatan Nasional (PN) sejak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan isu teknikal, sebaliknya simptom kegagalan kepimpinan strategik dalam PN, khususnya Pas yang paling lantang mendakwa mereka memiliki “stok pemimpin” untuk jawatan Perdana Menteri. 

Realitinya, sehingga hari ini PN gagal menamakan seorang pun pengerusi baharu, yang merupakan jawatan asas yang menentukan hala tuju gabungan.

Jika Pas sebelum ini mendakwa mereka sedia menerajui PN, namun nyata itu hanya tinggal retorik apabila sehingga kini nakhoda PN masih belum berganti.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak jawatan pengerusi atas alasan kesihatan, manakala tiada tokoh kedua atau ketiga dikemukakan sebagai alternatif. 

Ini mendedahkan satu hakikat pahit bahawa Pas bukan sahaja tidak bersedia memimpin negara, malah tidak bersedia memimpin gabungan sendiri.

Benar, mencari seorang pemimpin sebuah pakatan parti politik bukan mudah, walaupun Pas sebelum ini begitu yakin boleh menerajui PN.

Justeru, ketiadaan pengerusi menjadikan PN bagai kapal tanpa nakhoda yang bergerak tanpa kompas politik, terdedah kepada pertembungan kepentingan dalaman dan kehilangan disiplin organisasi. 

Dalam gabungan longgar seperti PN, jawatan pengerusi bukan simbol semata-mata, tetapi pusat graviti kuasa.

Harus diingat, dalam PN bukan hanya sekadar Pas dan Bersatu tetapi juga ada Gerakan selain lain-lain parti dari Sabah dan Sarawak.

Justeru, tanpa seorang pengerusi yang dipercayai oleh semua parti komponen, keputusan strategik akan tertangguh, mesej politik bakal bercelaru dan keyakinan akar umbi kian terhakis.

Lebih memalukan, jika benar ada pemimpin Pas yang cuba memujuk Muhyiddin untuk kembali memimpin PN mendedahkan kebergantungan mutlak Pas kepada tokoh luar. 

Ini bercanggah sepenuhnya dengan naratif Pas yang sering melaungkan bahawa mereka mempunyai “barisan kepimpinan berwibawa” dan “calon Perdana Menteri” sendiri. 

Jika benar dakwaan itu, mengapa untuk jawatan pengerusi PN pun Pas terpaksa merayu tokoh yang sudah berundur?

Hakikat ini menelanjangkan politik “sembang kencang” Pas dan hanya gah di pentas ceramah, tetapi lumpuh di meja keputusan. 

Kegagalan menamakan pengerusi baharu membuktikan bahawa slogan kesediaan memerintah hanyalah propaganda, bukan kesiapsiagaan sebenar.

Implikasinya amat besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang penulis jangka diadakan sekitar Oktober depan. 

Jika isu ini masih berterusan, PN bakal berdepan pilihan raya dalam keadaan tanpa kepimpinan pusat yang jelas, tanpa wajah autoritatif untuk menyatukan kempen dan tanpa naratif kepimpinan yang meyakinkan pengundi. 

Dalam politik pilihan raya, kekosongan kuasa di peringkat tertinggi sering diterjemah pengundi sebagai ketidakstabilan dan risiko.

Jika PN terus gagal menyelesaikan isu pengerusi, gabungan itu bukan sahaja berdepan risiko prestasi lemah di Melaka, malah berpotensi mengalami hakisan kepercayaan jangka panjang.

Akhirnya, PN akan dilihat bukan sebagai alternatif kerajaan, tetapi sebagai gabungan sementara yang hidup atas nostalgia dan retorik, tanpa struktur, tanpa hala tuju dan tanpa kepimpinan sebenar.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan