AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga bot nelayan Indonesia atas pelbagai kesalahan di perairan Pulau Kendi, Khamis lalu.
Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, KM Burau telah mengesan dua daripada tiga bot nelayan tersebut ketika sedang bergerak di perairan negara ini.
“Hasil pemeriksaan awal pada bot pertama terdapat lima kru termasuk tekong warga Indonesia dalam lingkungan umur 18 hingga 60 tahun.
“Manakala di bot kedua terdapat enam kru termasuk tekong warga Indonesia berumur antara 27 hingga 41 tahun di posisi yang sama,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Terdahulu, KM Burau telah menahan sebuah lagi bot nelayan Indonesia di kedudukan 42 batu nautika barat Pulau Kendi pada Rabu lalu bersama lima kru warga Indonesia termasuk tekong.
Jelas beliau, pemeriksaan mendapati, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, ketiga-tiga bot nelayan Indonesia tersebut didapati masuk ke perairan negara bagi tujuan menangkap ikan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua 16 kru warga asing yang ditahan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya. – Edisi 9