32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Hariz Hamdan teruja digandingkan dengan Rosyam Nor

Mesti Baca

TIGA tahun bergelar pelakon, pendatang baru Hariz Hamdan tidak menyangka diberi peluang bergandingan dengan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor dalam siri premium Astro Originals iaitu Xchange.

Pelakon berusia 21 tahun itu berkata, pada mulanya dia bimbang berikutan sedar bakat lakonan tidak setaraf dengan Rosyam Nor.

Namun begitu, dia berasa sedikit lega apabila Astro menyediakan kelas lakonan bersama pelakon Farah Ahmad dan juga kelas aksi sebulan sebelum penggambaran bermula.

“Sepanjang tiga tahun berlakon rasanya inilah projek yang saya banyak lakukan persediaan dan paling takut untuk masuk ke set penggambaran.

“Apabila dapat tahu abang Rosyam Nor akan menjadi bapa saya dalam siri ini, saya melakukan pelbagai persediaan dengan sebaik mungkin.

“Apatah lagi saya tidak pernah berlakon dalam drama aksi ini membuatkan saya berusaha lebih lagi supaya tidak kelihatan kekok,” katanya.

Bekas peserta Hero Remaja 2020 itu mengakui perasaan takut pada awal akhirnya hilang selepas dia boleh berbual dengan lebih santai bersama Rosyam.

“Saya tetapkan dalam minda abang Rosyam adalah bapa saya, secara automatik kami boleh berbual secara santai. Meskipun, nampak garang, sebenarnya dia seorang yang sangat mudah didekati.

“Biasanya pelakon baharu mempunyai masalah untuk bergaul dengan pelakon senior, tetapi berbeza dengan abang Rosyam yang bijak membuatkan semua orang di set penggambaran selesa,” katanya.

Advertisements

Hariz berkata, cabaran membawakan watak Qabil dalam siri Xchange cukup besar selain perlu keluar dari zon selesa, dia juga perlu menjadi orang yang sangat berbeza daripada dirinya.

“Qabil seorang yang panas baran, suka tinggikan suara dan pukul orang memang berbeza daripada saya yang sebenar.  

“Demi menampilkan sisi berbeza dalam lakonan, saya sahut cabaran melakonkan watak ini,” katanya.

Hariz berkata, demi memberikan yang terbaik dia hanya fokus kepada penggambaran drama Xchange sahaja sepanjang tempoh tiga bulan sehingga November ini.

Komitmen dan menuntut aksi fizikal yang tinggi dalam drama itu menyebabkan Hariz enggan mengambil risiko dengan menerima tawaran lakonan yang lain.

“Sebelum ini saya pernah berlakon tiga drama serentak, tetapi sekarang sudah sampai masanya saya fokus apabila bekerja terutama yang membabitkan filem dan siri premium.

“Saya tidak mahu tamak hingga menjejaskan mutu lakonan. Lagipun drama ini lokasinya di Kuala Kubu Baru dan Sungai Lembing Pahang, memang agak jauh.

“Selain babak aksi yang agak banyak saya akui penat untuk berkejar ke set lain, jadi lebih baik fokus satu sahaja,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan