PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, intimidasi dan ugutan yang digunakan ke atas Iskandar Dzulkarnain adalah bagi memastikan Kerajaan Perpaduan memperoleh sokongan dua pertiga di Parlimen.
Hamzah berkata, PN mengutuk keras tindakan kerajaan yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
“Pada 1 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara.
“Beliau diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada 26 September, Ahli Parlimen tersebut juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar di sebuah lokasi di Damansara.
“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.
“Dalam pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau,” ujarnya.
Hamzah dalam pada itu berkata, PN kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Katanya, kenyataan dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
“PN mendesak Kerajaan Madani menghentikan tindakan salahguna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen.
“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – Edisi 9