31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kerajaan naik taraf lebih 300 hentian bas di Lembah Klang

Mesti Baca

SEBANYAK 356 hentian bas di Lembah Klang akan dinaik taraf kepada perhentian berbumbung secara berperingkat.

Ini satu perkara yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2 Tahun 2023, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen, semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata usaha naik taraf berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“Kebanyakan ‘bus pole’ sekarang ini tiada struktur. Ia hanya ada satu tempat, satu tiang saja, menandakan ini perhentian bas. Jadi, tempat berteduh pun tidak ada.

“Kita akan menggunakan peruntukan RM100,000 daripada KPKT untuk menaik taraf setiap lokasi tiang bas ini dan akan disalurkan kepada tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya reka bentuk hentian bas berkenaan diseragamkan,” katanya.

Loke memaklumkan, ‘tidal flow’ (aliran pasang-surut) akan dilaksanakan di Lebuh Raya Sungai Besi-Seremban, bermula dari Persimpangan Astro ke jarak 200 meter sebelum Terowong Lebuh Raya SMART.

Katanya, kajian lanjut mengenai perkara itu akan dilakukan DBKL dan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Advertisements

“Kerajaan juga akan melaksanakan kajian secara dalam talian untuk mengukur tahap kepuasan pengguna terhadap pelaksanaan ‘tidal flow’ di Lembah Klang dan ia akan dibentangkan dalam jawatankuasa ini pada Februari 2024,” katanya.

Pada masa sama, Loke berkata, penyusunan semula aliran trafik di Bukit Bintang dilaksanakan untuk tempoh percubaan selama satu bulan bermula 1 November ini, dan memerlukan penelitian PDRM dan DBKL.

Katanya, pembinaan laluan pejalan kaki baharu di 36 tempat baru yang dikenal pasti juga akan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Loke berkata, mesyuarat turut memutuskan untuk menambah baik dan memperluas pelaksanaan laluan khas bas sedia ada, iaitu di Jalan Ampang, mulai 16 Oktober ini, selain tiga cadangan lorong bas baharu.

Ia membabitkan Jalan Cheras–Loke Yew dengan jarak 11.5 kilometer (km), Jalan Kuching (5.7km) dan Jalan Genting Klang (8.7 km), yang dijangka dilaksana bulan depan.

“Kerajaan juga sedang meneliti keperluan untuk penyediaan ‘park & ride’ di kawasan persempadanan Kuala Lumpur-Selangor sebagai satu usaha pelaksanaan koridor bas henti-henti di pusat bandar Kuala Lumpur bagi mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar.

“Kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan meneliti tindakan untuk membangunkan aplikasi ‘Mobility as a Service’ (MaaS) yang akan menjadi aplikasi tunggal untuk semua mod pengangkutan awam,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan