32.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

‘Bulan’ dendangan Namira dapat perhatian

Mesti Baca

PASTI ramai yang sudah mendengar lagu Bulan runut bunyi atau OST (original sound track) bagi filem Pagari Bulan, arahan Ts Raja Mukhriz yang ditayangkan di seluruh pawagam dan saluran digital OTT sejak 5 Oktober lalu.

Selepas diperkenalkan ketika tayangan malam gala filem berkenaan, ramai yang mencari dan ingin tahu siapakah penyanyi lagu Bulan kerana lagu itu amat menyentuh hati tatkala mendengarnya.

Siapa sangka, lagu Bulan yang berentak pop balada itu membawa tuah kepada penyanyi bersuara lunak iaitu Namira.

Bukan setakat menyanyi, Namira turut mencipta dan menulis lirik untuk lagu yang dihasilkannya pada 2020 itu.

Namira atau nama sebenarnya Amira Aman, 30, berasal dari Kuala Lumpur, tidak menyangka lagu berkenaan menjadi pilihan pengarah ternama iaitu Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi filem arahannya.

“Lagu Bulan ini, saya cipta kira-kira dua tahun lalu berbekalkan inspirasi kepada seseorang yang saya cintai.

“Namun, sayangnya kami tiada jodoh apabila hubungan itu putus dan terjadilah jalan cerita lagu ini yang berkisar pada cinta tidak kesampaian.

“Sewaktu Saudagar Seni memperdengarkan demo lagu berkenaan kepada Sharifah Shahora selaku penerbit filem, dia sangat berminat lalu meminta lagu itu dikongsi kepada Raja Mukhriz.

“Paling mengejutkan pengarah terus bersetuju untuk menjadikan Bulan sebagai OST filem Pagari Bulan. Raja Mukhriz kata, lagu itu sesuai dengan jalan cerita filem itu.

“Katanya, lagu itu ada roh dan bila diputarkan berulang kali seakan-akan sebak menyelubungi hati. Alhamdulillah, lagu berkenaan berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan Sharifah Shahora selaku penerbit filem Pagari Bulan, Namira berkata pada mulanya dia berasa segan kerana sudah menonton lakonan pelakon itu sejak kecil lagi.

“Kak Shahora sangat baik orangnya, suka membantu dan tidak berkira. Dia juga banyak berkongsi pengalaman bagaimana nak ‘survive’ dalam industri yang saya sertai ini.

“Dia tidak kedekut ilmu, selalu tolong saya dalam banyak perkara. Seorang yang boleh bertoleransi, sangat ‘supportive’ terutama dari segi wardrobe. Saya senang bekerjasama dengannya.

“Selain itu, Cat Farish sebagai penerbit lagu sangat memberi pengalaman berharga, segalanya kerana saya boleh ‘click’ dengan cepat bersama pasukan kerjanya.

“Tidak tertekan langsung hingga saya dapat menyiapkan rakaman lagu Bulan dalam tempoh hampir 4 jam yang dibuat pada Ogos lalu,” katanya.

Ada orang perjalanannya untuk mengejar impian berlaku dengan mudah, ada orang pula yang harus melalui dugaan berliku sehingga perlu berasa kecewa, sedih dan putus asa.

Advertisements

Begitulah juga pengalaman pernah dilalui oleh Namira.

“Saya sebenarnya sudah sampai tahap berserah pada Allah saja. Ada rezeki saya, adalah dan kalau tak ada mungkin karier seni bukan untuk saya.

“Banyak dugaan sudah saya lalui dalam perjuangan untuk minat terhadap muzik ini,” katanya.

Berbicara tentang minat mendalamnya terhadap nyanyian, Namira berkata, minat sudah berputik sejak dia masih kanak-kanak apabila selalu menyertai apa saja pertandingan menyanyi sejak di alam persekolahan.

“Menyertai pertandingan menyanyi adalah kesukaan saya tanpa fikir menang atau kalah.

“Cuma, minat saya terhadap muzik semakin berkobar ketika melanjutkan pengajian diploma di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2011.

“Saya mengambil jurusan muzik dalam pengkhususan gitar klasik selama tiga tahun, kemudian tiga tahun lagi dalam jurusan penciptaan lagu dan susunan muzik pula.

“Selepas tamat pengajian, saya pernah jadi ‘backup musician’ untuk program Teh Tarik Che Ta di RTM pada 2016.

“Kemudian, saya dapat rezeki sebagai pengacara program travelog, Sneakers Merah Jambu di RTM yang disiarkan pada 2017,” katanya.

“Berbekalkan pengalaman dengan kepelbagaian cabang seni membuatkan saya matang bersama masa.

“Ilmu yang saya perolehi ini akan digunakan sebaik mungkin. Insya-Allah, saya menawarkan pakej lengkap sebagai artis yang mampu menyanyi, mencipta lagu dan lirik, mengacara dan juga bermain muzik.

“Sebelum ini juga saya telah banyak menghasilkan lagu ‘jingle’ bagi produk iklan. Cuma keberanian untuk menawarkan lagu kepada penyanyi lain belum ada.

“Mungkin inilah masanya saya memperkenalkan jenama Namira kepada penggiat seni agar kehadiran saya memberi manfaat kepada industri hiburan Malaysia khususnya.

“Saya bersedia memberikan karya saya pada mereka yang berminat kerana saya ada koleksi lagu yang sudah siap.

“Lagu-lagu ciptaan saya selain tema cinta, ada juga berkisar tentang kemanusian tapi lebih bersifat umum dan sesuai untuk semua lapisan usia,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sindiket seludup PATI Bangladesh tumpas, lapan ditahan

JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan...

Lagi Artikel Berkaitan