26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Usah politikkan Minggu Solidariti Palestin – Ikram

Mesti Baca

PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) berharap program Minggu Solidariti Palestin yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah ketika ini tidak dijadikan polemik politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Ikram, Profesor Dr Omar Yaakob berkata, semua pihak perlu sepakat menghormati keputusan kerajaan untuk membantu rakyat Palestin bagi mendapatkan hak mereka untuk hidup bebas dan merdeka.

“Ikram menyokong langkah kementerian melaksanakan program ini yang bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar.

“Pelajar perlu didedahkan dengan sejarah pencerobohan dan penjajahan Israel ke atas Palestin sehingga menimbulkan krisis kemanusiaan terbesar dan terpanjang abad ini.

“Palestin adalah satu-satunya negara yang masih terjajah lebih 70 tahun dan pengepungan ke atas lebih dua juta penduduk Gaza adalah sesuatu bertentangan dengan perikemanusiaan serta undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

KPM sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan program Minggu Solidariti Palestin bermula Ahad hingga Jumaat ini bagi mendidik murid tentang nilai kemanusiaan merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

KPM berkata, program berkenaan adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan.

Sementara itu, Omar berkata, Ikram turut mencadangkan agar ia dijadikan sebagai program yang menekankan tentang nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang boleh disepakati bersama dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama di sekolah.

“Pelajar-pelajar perlu diingatkan bahawa dasar aparteid dan penghapusan etnik yang dilakukan Israel melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan