DUA kapal pengangkut yang berdaftar di Monrovia, Liberia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili kerana melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal pengangkut pertama ditahan pada pukul 1 petang di kedudukan 25.2 batu nautika timur laut Tanjung Siang.
Beliau berkata, kapal kedua pula ditahan pada kedudukan 22.8 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada pukul 2.45 petang.
“Kedua-dua nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Najib, penahanan kedua-dua kapal tersebut merupakan penahanan keenam bagi bulan ini.
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kapal ditahan sepanjang 2023 sebanyak 71 buah atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Maritim Malaysia amat serius dalam membanteras kapal-kapal yang bersauh secara haram dan akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk mengekang aktiviti ini.
“Selain itu, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak demi kesejahteraan perairan negara,” katanya. – Edisi 9

