Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan sebuah bot tunda bersama barge (tongkang) kerana gagal mengemukakan bukti pertukaran nakhoda secara bertulis di sekitar Tanjung Po, Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, bot tunda tersebut dikesan sedang bersauh bersama tongkang ketika rondaan Op. Permai dan Op. Tiris.
“Bot ronda Maritim Malaysia seterusnya merapat dan melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda itu mendapati, terdapat sembilan warga asing dan seorang warga tempatan berada di atas bot tunda dan barge terbabit.
“Namun, kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Zin Azman berkata, bot tunda dan barge itu diiring ke kawasan bersauh berhampiran Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) untuk tindakan lanjut.
Katanya, Maritim Negeri Sarawak menasihati masyarakat khususnya komuniti perkapalan agar sentiasa peka terhadap undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.
“Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak (082-432544) atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya. – Edisi 9

