KERAJAAN Perpaduan akan meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani biarpun kadar inflasi negara mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam hampir dua tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri itu akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.
“Saya turut mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat diberikan perhatian yang serius agar rakyat menerima manfaat secara terus bagi setiap inisiatif dan strategi yang dilaksanakan.
“Saya juga menyeru agar semua agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani terus diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023, semalam.
Anwar berkata, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah diarahkan untuk lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT).
“Ia terutama bagi kawasan- kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam mendapatkan bekalan beras susulan langkah intervensi yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup telah dibentangkan semasa mesyuarat tersebut.
Katanya, ia berkenaan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.
“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.
“Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh kementerian sebelum dimuktamadkan,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.
“Sehubungan itu, kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan,” katanya. – Edisi 9