30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Biden ikrar sokongan berterusan kepada Israel

Mesti Baca

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyuarakan kebimbangan terhadap rakyatnya yang menjadi tebusan dalam konflik di Israel ketika berikrar menyatakan sokongan berterusan terhadap serangan ke atas Hamas.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 14 rakyat AS maut dalam serangan itu selain masih ada yang dijadikan tebusan.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, memberitahu wartawan AS, mereka percaya seramai 20 warga AS hilang tetapi masih tidak jelas sama ada mereka dijadikan tebusan.

Sullivan berkata, setakat ini tiada tentera AS akan ditempatkan di darat walaupun pihak tentera Israel difahamkan sedang bersedia melancarkan serangan di darat.

Biden berkata, Washington juga akan berkongsi risikan dengan Israel dan mengerahkan pakar tambahan bagi menyelamatkan tebusan.

Biden ketika ini tidak lagi dilihat merayu serangan dihentikan untuk mengelakkan semakin ramai rakyat awam menjadi mangsa, sebaliknya kelihatan lebih bersedia untuk ‘berperang’.

Dalam panggilan telefon kepada Perdana Menteri Israel, Israel Benjamin Netanyahu, semalam, beliau mendakwa Hamas sengaja menyasarkan orang awam manakala negara demokrasi seperti AS dan Israel ‘lebih kuat dan lebih selamat jika bertindak mengikut kedaulatan undang-undang’.

“Ada saat-saat dalam kehidupan ini dan saya maksudkan ini secara langsung, apabila kejahatan berlaku. Rakyat Israel melalui saat seperti itu pada hujung minggu ini,” kata Biden kepada pemberita di Rumah Putih.

Biden menyatakan sedemikian merujuk laporan ‘menyayat hati di mana ibu bapa disembelih, bayi dibunuh, seluruh keluarga dibunuh dan wanita dirogol, diserang dan diarak’.

Biden juga mendakwa, Hamas melanggar ‘setiap kod moral manusia’ apabila mengancam untuk membunuh tebusan, termasuk mereka terselamat dari tragedi ‘Pembunuhan Beramai-ramai Nazi’.

Advertisements

Beliau turut menggelar pejuang Hamas ia sebagai ‘dahagakan darah’ dan melakukan ‘amukan terburuk selepas Daesh.’

“Ini adalah keganasan, tetapi malangnya bagi orang Yahudi, ia bukan perkara baru,” kata Biden.

Tambahnya, perang itu mengembalikan episod anti Zionis dan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi tetapi tidak menyentuh mengenai penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang terkorban akibat serangan Israel selama ini.

Beliau juga memberi amaran kepada Iran dan kumpulan yang disokong Iran seperti Hizbullah Lubnan, yang didakwa mungkin mengambil kesempatan, namun AS sendiri menghantar bantuan ketenteraan ke Israel.

Israel ketika ini menggempur Semenanjung Gaza sejak Selasa, sebagai membalas serangan Hamas yang dilancarkan Ahad lalu, dengan serangan udara paling sengit dalam konflik 75 tahun dengan Palestin, memusnahkan seluruh daerah.

Biden yang membuat panggilan telefon ketiganya dalam tempoh empat hari dengan Netanyahu, berkata AS akan bertindak lebih pantas, tegas dan luar biasa sekiranya serangan sedemikian terjadi di AS.

Bagi bantuan ketenteraan AS untuk Israel, beliau berkata akan meminta Kongres mengambil tindakan segera, walaupun masih berdepan tentangan berhubung bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Difahamkan, Rumah Putih juga sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan permintaan kepada Kongres memasukkan bantuan ketenteraan kepada kedua-dua Ukraine dan Israel.

Rumah Putih, kelmarin berkata mereka akan memenuhi permintaan keselamatan tambahan kepada Israel secepat mungkin, malah Biden menjanjikan penambahan pemintas yang digunakan oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome Israel serta peluru selain menggandakan kehadiran tentera AS di rantau itu. -Agensi 

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan