25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Aina gegar Korea di ABU TV Song Festival 2023

Mesti Baca

PENYANYI dan komposer, Aina Abdul mencuri tumpuan apabila terpilih mewakili negara dan turut beraksi di pentas global, ABU TV Song Festival 2023 anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu.

Aina berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan menerusi lagu Terus Hidup yang pernah membawa tuah dalam karier seninya apabila dijulang sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, awal tahun ini.

Mengulas pemilihannya sebagai ‘duta kecil’ dalam acara hebat itu, Aina berkata, ia satu pengalaman berharga sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.

“Diberi peluang keemasan mewakili Malaysia oleh RTM untuk beraksi di pentas antarabangsa adalah satu penghormatan cukup istimewa buat saya.

“Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.

“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia, manakala KBS antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop.

“Mengetahui program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, tidak dapat saya gambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan.

“Walaupun hanya menyanyikan satu lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak sekadar menimba pengalaman, malah peluang itu juga membuka ruang untuk Aina melebarkan rangkaian sosial dengan artis serantau, selain menimba ilmu bagi melengkapkan diri sebelum melebarkan sayapnya ke peringkat lebih tinggi.

Advertisements

“Saya rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional.

“Segala urusan berkaitan program berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun tiada sebarang masalah kerana semuanya disusun secara terperinci dan teratur.

“KBS turut menyediakan khidmat penterjemah untuk semua peserta bagi memudahkan komunikasi,” katanya lagi.

Aina berkata, persembahannya itu menghadiahkan kenangan manis kerana ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

“Kesempatan beraksi di festival itu turut melengkapi hasrat saya untuk hiburkan peminat di luar negara. Saya terharu apabila mengetahui ada antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup datang semata-mata ingin menonton persembahan saya secara ‘live’.

“Saya harap persembahan itu dapat mempersonakan audiens yang menonton termasuk dalam dewan dan di rumah.

“Manalah tahu, mungkin selepas menonton program ini, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.

“Besar harapan saya agar menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di Korea Selatan, mungkin untuk projek kolaborasi lebih istimewa, Insya-Allah,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan