27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

KPWKM nafi laporan bayi dirampas, ibu serah kepada OYLS

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, menafikan laporan portal berita mengenai dakwaan bayi Bajau Laut dirampas daripada seorang ibu yang tidak mempunyai kerakyatan, di sebuah hospital di Sabah.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semakan telah dilakukan terhadap dakwaan yang dibangkitkan portal berita itu pada 15 September lepas, dan mendapati isu itu merupakan kes lama yang dikendalikan oleh Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lahad Datu, Sabah pada 2021.

Menurut kenyataan KPWKM itu, penempatan kanak-kanak bersama Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) pada awalnya, ialah melalui Perintah Sementara di bawah perenggan 19(2)(b), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK), sementara proses mengenal pasti ibu atau bapa atau penjaga dijumpai dan tampil untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut.

Kenyataan KPWKM memaklumkan setelah mendapat pengesahan daripada Ketua Kampung Bajau Laut, Lahad Datu, Pelindung telah menawarkan kepada ibu dan bapa kandung untuk mengambil semula hak penjagaan kanak-kanak daripada OYLS, namun ibu bapa kandung telah membuat keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak kepada OYLS, melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati.

Selain itu, menurut KPWKM, Pelindung juga mendapati ibu kandung tidak berkemampuan untuk memelihara kanak-kanak berkenaan, disebabkan faktor kewangan dan kesihatan kronik serta tidak berupaya membiayai kos perubatannya, dan telah meninggalkan kanak-kanak pramatang itu selama tiga bulan di Hospital Lahad Datu.

Pada 15 September lepas, portal berita MalaysiaKini menerbitkan laporan bertajuk “Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital” yang laporan itu menceritakan kes melibatkan Aimah (bukan nama sebenar), yang bayinya dimasukkan ke wad unit rawatan rapi bayi (NICU) selepas dilahirkan dan diambil darinya tanpa kebenaran kerana tiada kerakyatan.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa pihak hospital membuat laporan ke Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), selepas dia meninggalkan bayinya di hospital dan menghilangkan diri.

Oleh itu, JKM mendapati beliau tidak mampu menjaga anaknya dan mengambil hak penjagaan bayi itu.

Advertisements

Laporan itu turut mendakwa tiga kes serupa direkodkan, di mana dua ibu mendapat semula hak penjagaan ke atas anak mereka, manakala seorang lagi diancam hilang hak penjagaan membunuh diri bersama bayinya di hospital.

Menegaskan dakwaan yang dibangkitkan dalam laporan portal itu adalah tidak benar, KPWKM memaklumkan pengendalian kes berkenaan telah dilaksanakan dengan teratur mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ia berdasarkan laporan pelindung, perintah mahkamah, laporan polis, akuan sumpah berkanun, permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan daripada pihak Hospital Lahad Datu,” menurut kenyataan KPWKM.

KPWKM dalam kenyataam itu memaklumkan, satu sesi persidangan kes bagi memperincikan maklumat dan membuat semakan berhubung prosedur pengendalian kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak berdasarkan kepada Akta 611 telah diadakan semalam, susulan laporan tersebut.

Menurut KPWKM satu laporan polis telah dibuat pada hari ini (20 Sept) di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, bagi menafikan dakwaan tidak benar tersebut.

“Kementerian juga memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, apabila siasatan dijalankan,” katanya.

KPWKM juga berkata ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang terlibat, sekiranya dakwaan tersebut benar-benar berlaku. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan