30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

LPPKN, JKN gempur saringan HPV DNA di seluruh negara

Program tersebut bagi pengesanan awal kanser serviks dalam kalangan wanita.

Mesti Baca

LEMBAGA Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan program Gempur Saringan HPV DNA bagi pengesanan awal kanser serviks.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut akan dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai kesinambungan kempen kesedaran kanser reproduktif wanita (Wcare).

Menurut beliau, kempen Wcare bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak terutamanya wanita terhadap kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser serviks dan kanser payudara.

Beliau berkata, ia bagi memastikan langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai dapat dilaksanakan sewajarnya untuk mereka yang memerlukan.

“Wanita berumur 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan yang paling berisiko mendapat kanser serviks.

“Ujian HPV DNA yang dilaksanakan oleh LPPKN mengguna pakai kaedah yang membolehkan wanita mengambil sampel sendiri menggunakan Kit Ujian HPV DNA yang akan dibekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Wcare 2023 di Lundu, Sarawak hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.

Nancy berkata, sebanyak 49 buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara turut melaksanakan Kempen Wcare selain program outreach yang diselaraskan melalui pejabat LPPKN negeri.

Katanya, ini bagi memastikan Kempen Wcare mendapat liputan meluas serta seramai mungkin rakyat menerima manfaat daripadanya.

“Bagi wanita di negeri Sarawak, boleh berkunjung ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuching, Sibu dan Miri untuk mendapatkan saringan percuma yang ditawarkan,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan