31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Hong Kong dilanda hujan terburuk dalam 140 tahun

Mesti Baca

HONG KONG dilanda hujan terburuk yang direkodkan sebagai paling lebat dalam tempoh hampir 140 tahun, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurang 83 mangsa cedera, manakala jalan dan sejumlah stesen kereta api bawah tanah ditenggelami banjir serta sekolah terpaksa ditutup.

Pada masa sama, bandar Shenzhen yang dihuni lebih 17.7 juta penduduk di selatan China turut dilanda hujan paling lebat sejak rekod meteorologi bermula pada 1952, sehingga mencetuskan keadaan huru-hara.

Hujan lebat membasahi Hong Kong sejak semalam dan menjelang tengah malam, balai cerap cuaca bandar ini merekodkan taburan hujan 158.1 milimeter (mm) sejam di ibu pejabatnya angka tertinggi sejak rekod dimulakan pada 1884.

Biro cuaca Hong Kong turut mengeluarkan amaran hujan ribut pada tahap tertinggi berwarna ‘hitam’.

Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kilat, manakala agensi perkhidmatan kecemasan melancarkan operasi menyelamat di beberapa kawasan.

“Penduduk tinggal di kawasan berhampiran sungai harus berwaspada dengan keadaan cuaca dan berpindah sekiranya rumah mereka dinaiki air,” menurut pihak balai cerap berkenaan.

Ia turut memberi amaran mengenai kemungkinan akan berlaku tanah runtuh, sekali gus menasihati orang ramai dan pengguna jalan raya supaya menjauhi cerun curam atau tembok penahan.

Pagi tadi, sebilangan teksi dilihat meredah jalan raya yang dinaiki air, dengan membawa penumpang yang mahu ke tempat kerja.

Advertisements

Bagaimanapun, beberapa kenderaan terkandas dalam banjir. Di Pulau Lantau, air sungai melimpah yang menyaksikan jalan raya ditenggelami banjir.

Pihak berkuasa menutup sekolah atas faktor keselamatan, manakala perkhidmatan kargo di sempadan dihentikan sementara.

Perkhidmatan kereta api di Hong Kong turut terjejas apabila sejumlah stesennya dinaiki air, termasuk di daerah Wong Tai Sin.

Sementara itu, Xinhua melaporkan dalam tempoh bermula jam 5 petang semalam hingga jam 6 pagi tadi, Shenzhen menerima taburan hujan sebanyak 202.8mm, manakala taburan hujan kumulatif maksimum pula mencecah 469mm.

Menurut laporan itu, jumlah taburan hujan terbabit memecah beberapa rekod meteorologi yang bermula 71 tahun lalu. Malah, hujan lebat diramalkan terus berlanjutan hari ini.

“Ibu pejabat kawalan banjir, kemarau dan taufan Shenzhen telah mengeluarkan notis pada pagi tadi bahawa sekolah rendah dan menengah serta tadika di seluruh bandar itu akan menangguhkan kelas hari ini, bagi memastikan keselamatan diri dan harta benda penduduk,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, sebahagian daripada enam perkhidmatan kereta api bawah tanah dihentikan sementara, dan pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan berbahaya seperti gunung, sungai, cerun serta tembok penahan.

Beberapa rakaman video turut menunjukkan orang ramai terkandas di stesen kereta api yang ditenggelami banjir di Shenzhen. -Agensi

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan