24.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 17, 2024

Malaysia cari peluang kerjasama dengan Hong Kong

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MALAYSIA mencari peluang kerjasama serta memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Hong Kong melibatkan pebagai sektor antaranya perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan silang budaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Hong Kong, John Lee Ka-chiu semalam.

Zahid berkata, beliau telah menyatakan komitmen Malaysia untuk merealisasikan usaha pembukaan Pusat Perdagangan dan Ekonomi Hong Kong (HKETO) di Kuala Lumpur.

“Usaha ini dilihat mampu memberi banyak kelebihan kepada negara khususnya dalam merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam Facebook beliau, malam tadi.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam rangka lawatan rasmi ke China sehingga 1 Jun ini sempena Ulang Tahun Ke-50 hubungan Malaysia dan China.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu beliau juga berkesempatan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, memandangkan tempoh visa kemasukan rakyat Hong Kong ke Malaysia telah dipanjangkan dari 30 kepada 90 hari, beliau yakin ia dapat menarik lebih ramai pelancong dari wilayah itu ke Malaysia.

Advertisements

Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut melihat potensi untuk mengembangkan kerjasama dengan Majlis Latihan Vokasional Hong Kong (VTC).

“Kerjasama ini bagi membuka peluang untuk pertukaran pengetahuan dan kemahiran serta dapat mempelbagaikan lagi program latihan agar peluang kerjaya graduan TVET dapat diperluaskan.

“Sudah pasti pelbagai lagi perkara yang telah dibincangkan di dalam pertemuan bersama John Lee Ka-chiu.

“Semoga keakraban hubungan ini terus berkekalan dan membawa lebih banyak kemajuan bersama di masa hadapan,” kata beliau.

Dari Hong Kong, Zahid kemudian bertolak ke Shenzen yang antara lain akan melawat Huawei Von Neumann Exhibition Hall (Industry and Digital Transformation) yang mempersembahkan inovasi terkini dalam transformasi industri digital.

“Saya juga akan menyaksikan beberapa upacara pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Huawei Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang amat penting untuk pembangunan bakat, perkongsian sumber-sumber akademik dan penyelidikan,” katanya.

Pada sebelah malam, beliau mengambil peluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan para pelajar serta komuniti Malaysia di Shenzen. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Rakyat marah bukan penyelarasan subsidi tapi soal janji

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, kemarahan rakyat kepada kerajaan hari ini bukan kerana melaksanakan penyasaran subsidi...

Lagi Artikel Berkaitan