SKUAD Harimau Malaya melonjak dua anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan dalam dua aksi persahabatan Tier 1, baru-baru ini.
Berdasarkan kemaskini ranking terbaharu FIFA hari ini, Malaysia naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan ke-134 dunia.
Ini susulan kejayaan anak buah Kim Pan Gon berjaya mengikat Syria yang sebelum ini menghuni tangga ke-94 dunia.
Dalam perlawanan tersebut, Harimau Malaya yang ketinggalan dua gol di babak pertama berjaya bangkit menyamakan mengejar kedudukan di separuh masa kedua menerusi jaringan Akhyar Rashid dan Darren Lok.
Namun, paling membanggakan adalah dalam aksi persahabatan kedua apabila mengikat pasukan di ranking ke-80 dunia, China, 1-1 di depan ribuan penyokong lawan yang membanjiri Stadium Phoenix Hill, Chengdu.
Faisal Abdul Halim meletakkan Malaysia di depan seawal minit ke-10 sebelum China menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Lin Liang Ming pada minit ke-36 untuk mengikat kedudukan.
Skuad kebangsaan akan meneruskan aksi antarabangsa Tier 1 bulan depan apabila akan turun beraksi dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 menentang India pada 12 Oktober ini.
Sekiranya menang, anak buah Pan Gon akan berdepan pemenang di antara Palestin dan Tajikistan di final bagi penentuan juara. – Edisi 9