32.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 18, 2024

Gajah tertua di Malaysia, Lokimala mati pada usia 86 tahun

Mesti Baca

GAJAH tertua di negara ini, Lokimala milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang yang berjasa sebagai denak mati pada usia 86 tahun, semalam.

Menurut laporan Berita Harian, haiwan betina itu dibawa masuk ke negara ini dari Assam, India pada 27 Jun 1974, mati kerana sakit tua.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata sepanjang berada di negara ini, Lokimala membantu Unit Kebajikan Gajah dan Unit Pengurusan Gajah sebelum menyertai pasukan PKGK sebagai gajah denak yang terbabit dalam operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap di Semenanjung.

Katanya, terkenal dengan sifat mudah dikawal, jinak, dan rajin, Lokimala terbabit dalam operasi memindahkan sebanyak 150 ekor gajah liar di beberapa negeri sebelum ini.

“Lokimala di bawa masuk ke negara ini bersama tiga lagi gajah dari India bernama Ganesh, Lal Bahadul dan Paul Bahadul bagi membantu tangkapan dan pemindahan gajah liar oleh PKGK.

“Selain bertugas dalam operasi pemindahan gajah liar, Lokimala sebelum ini turut terbabit dengan aktiviti pertunjukan untuk tontonan pelancong yang datang ke PKGK,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, faktor usia dan tahap kesihatan gajah berkenaan kurang memuaskan sejak beberapa tahun lalu memaksa pihaknya mengambil keputusan merehatkan Lokimala.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, kelmarin tahap kesihatan Lokimala semakin menurun sehingga tidak dapat berdiri lagi dan pernafasannya semakin pelahan, kira-kira jam 10.54 pagi haiwan berkenaan mati dan ditanam dalam kawasan PKGK.

“Pada usia 86 tahun Lokimala, ia menyamai umur dengan gajah bernama ‘Lin Wang’ yang ditempatkan di Zoo Taipei pada 2003 yang dicatat oleh Rekod Dunia Guinness,” katanya yang kini menguruskan 26 gajah denak di PKGK.

Penjaga haiwan itu, M Shujaei Aziz, 46, berkata penjagaan haiwan betina itu begitu mudah dan tidak terlalu membebankan.

“Saya sedih dan sayu dengan kematian Lokimala, sebelum ini setiap hari saya bersamanya.

“Kenangan menjaganya tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila, kakitangan PKGK Lanchang turut sama bersedih dengan kehilangan haiwan yang manja ini,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Chery buka kilang pemasangan pertama di Shah Alam

PENGELUAR kenderaan dari China, Chery telah memenuhi komitmennya untuk melabur RM1 bilion di negara ini apabila membuka kilang pemasangan...

Lagi Artikel Berkaitan