30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Anggota polis tembak isteri sampai mati

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG suri rumah maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal di Simpang Empat, Kangar, Perlis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi di dalam bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Jalan Kangar-Alor Setar.

Menurut beliau, mejadian berlaku selepas suspek yang berasal dari Terengganu itu baharu sahaja tamat syif tugasannya dan berdasarkan saksi kejadian iaitu bapa mentuanya, suspek tiba-tiba mengeluarkan pistolnya jenis Walther P99 dan menembak isterinya yang dikenali sebagai Safsufarnisya Salleh berusia 27 tahun.

“Suspek melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat mengenai bahagian muka terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Ujar Yusharifuddin lagi, tembakan itu juga menyebabkan bapa dan ibu mentua, anak saudara suspek yang turut mendiami kediaman itu bertempiaran lari meninggalkan rumah.

“Bapa mentua suspek kemudian menelefon abang ipar suspek untuk memaklumkan kejadian sebelum menghubungi polis.

“Polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 7.26 pagi kemudian bertindak pergi ke rumah mangsa dan didapati suspek masih berada dalam rumah.

“Cubaan untuk meminta suspek menyerah diri bagaimanapun gagal apabila suspek hanya mendiamkan diri dalam rumah berkenaan dan apabila polis berjaya memasuki rumah berkenaan, didapati suspek hanya duduk mendiamkan diri di samping pistol masih lagi berada dalam tangannya,” katanya.

Yusharifuddin berkata, suspek ditahan dan mayat isterinya pula ditemui dalam keadaan mengiring di atas katil di bilik berkenaan.

“Beberapa kelongsong peluru turut ditemui di lantai berhampiran katil dimana mayat mangsa ditemui.

“Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan kerana didapati tidak berlaku sebarang pergaduhan atau pertikaian antara pasangan berkenaan yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.

“Siasatan juga akan menjurus sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebagainya.

“Pasangan berkenaan tidak mempunyai anak dan suspek sudah empat tahun bertugas di IPK Perlis,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap anggota polis boleh membawa senjata api ketika bertugas dan mempunyai kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Kangar.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kangar, esok untuk perintah reman.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan