DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pemeriksaan kebersihan premis makanan bagi mengesan premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Kali ini, pemeriksaan dilakukan di sepanjang jalan Radin Anum, Radin Tengah dan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling.
DBKL menerusi kenyataan berkata, hasil pemeriksaan tersebut sebanyak 19 daripada 31 premis makanan telah diperiksa.
“Dua premis telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan 28(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016.
“Selain itu sebanyak 34 kompaun dikeluarkan di bawah undang-undang kecil yang sama,”katanya.
DBKL berkata, pelbagai kesalahan dikesan seperti tiada lesen petempatan makanan, tiada suntikan tifoid dan kursus pengendali makanan, lantai dinding dapur kotor serta jubin rosak dan bahan makanan ditempatkan di atas lantai.
“Selain itu, kesalahan lain seperti tidak memasang dan menyelenggara alat perangkap minyak, penyediaan makanan di atas lantai dan di luar premis, serta terdapat hurungan makhluk perosak di petempatan makanan.
“Berikutan itu, DBKL ingin mengingatkan kepada pemilik premis makanan dan minuman supaya tahap kebersihan perlu dijaga.
“Bukan setakat harga mahal je penyebab pelanggan lari, premis tak bersih pun antara penyebab utama,”katanya.
Menurut DBKL, pihaknya terus komited meneruskan pemantauan kerana ini melibatkan soal keselamatan dan kesihatan warga kota selaku pelanggan. – Edisi 9