30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

BSN perluas hab sekolah tanpa tunai di Kuala Lumpur

Mesti Baca

BANK Simpanan Nasional (BSN) meneruskan lagi komitmennya dalam memperkasakan pendidikan kewangan secara digital dengan memperluaskan Sekolah Tanpa Tunai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai hab terbaharu.

Pengenalan Sekolah Tanpa Tunai itu adalah bagi memberi pendedahan dan kemudahan kepada murid untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai di kantin, koperasi dan dobi sekolah.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, usaha ini akan dapat memperkasa kemahiran diri golongan remaja mendepani arus modenisasi.

Sekolah Tanpa Tunai telah mula dilaksanakan oleh BSN sejak Disember 2019 dengan menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya sebagai ‘Sekolah Tanpa Tunai’ pertama BSN.

Sehingga Ogos 2023, sebanyak 113 buah sekolah di seluruh Malaysia telah pun menyertai program ini.

BSN meneruskan inisiatif yang sama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menghimpunkan lebih daripada 250 orang wakil daripada 24 buah sekolah asrama harian.

Mereka terdiri daripada pengetua, guru penyelaras, wakil kantin sekolah, koperasi sekolah dan murid-murid untuk mendengar penerangan berkaitan kelebihan Sekolah Tanpa Tunai BSN di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.

“Selari dengan perkembangan teknologi digital, BSN turut bergerak seiring dalam mengukuhkan teknologi kami dengan meletakkan digital sebagai kekuatan teras.

Pelancaran program BSN Sekolah Tanpa Tunai peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di SMK Bandar Baru Seri Petaling baru-baru ini.

“Atas dasar itu, BSN melangkah ke hadapan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif digital di sekolah-sekolah termasuklah Sekolah Tanpa Tunai.

“Ini sekali gus membangunkan ekosistem kewangan yang inklusif dalam memastikan segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda bersama-sama menikmati kemakmuran digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Sementara itu, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayatii Ab Wahab, berkata era baharu, era cashless akan mengubah kaedah pembayaran sedia ada di kantin sekolah, kedai buku dan koperasi kepada pembayaran tanpa tunai.

“Program cashless diperkenalkan oleh BSN ini amat wajar diteruskan yang mana ia secara tidak langsung dapat memupuk sifat celik kewangan dalam kalangan murid,” katanya.

Antara inisiatif lain yang turut dilaksanakan oleh BSN dalam memperkasakan pendidikan kewangan kepada murid sekolah adalah melalui Jelajah Celik Kewangan BSN 2023 yang telah dijalankan bermula Mei di seluruh sekolah di Malaysia.

Setakat Julai 2023, sebanyak 167 buah sekolah terbabit dalam program ini dan telah menerima taklimat dan kuiz mengenai pendidikan kewangan.

BSN juga telah memperkenalkan pendaftaran Perbankan Internet myBSN kepada pelajar sekolah menengah berumur 13 tahun ke atas bagi memudahkan mereka memantau perbelanjaan harian, membuat pembelian dalam talian, menyemak baki dan tambah nilai telefon bimbit.

Turut akan diperkenalkan dalam masa terdekat adalah saluran pembayaran alternatif melalui alat khas iaitu wearable bagi memudahkan urusan pelajar berbelanja secara tanpa tunai.

BSN turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyampaikan taklimat berkaitan Jenayah Komersil seperti akaun keldai, scammer dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada murid dan guru berkaitan jenayah komersil yang kian menular.

Selain daripada itu, BSN memperkenalkan BSN School Ambassador (BSA) yang telah dilancarkan pada April 2023 melalui Program Insentif BSJ 2023.

Program ini menawarkan ganjaran insentif wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM393,600 sebagai hadiah bagi kategori murid dan sekolah melalui pertandingan yang diadakan.

Murid dan sekolah perlu mengumpul mata ganjaran berdasarkan penyertaan murid melalui aktiviti anjuran BSN, jumlah pertambahan simpanan murid dan kadar pembabitan murid dalam pembukaan akaun BSN. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan