24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

BSN buka permohonan Skim Mikro Kredit PEMERKASA

Mesti Baca

CYBERJAYA – Usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19 boleh mengemukakan permohonan pembiayaan segera melalui Skim Mikro Kredit Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ketua Eksekutifnya, Jay Khairil Jeremy berkata, dana sebanyak RM300 juta itu disediakan bermula 1 April 2021.

Untuk makluman, BSN merupakan bank penyelaras bagi Skim Mikro Kredit PEMERKASA.

Beliau menambah, skim tersebut menyediakan bantuan kewangan sehingga RM50,000 dengan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus dan tempoh pembiayaan antara satu hingga lima setengah tahun.

Jay Khairil memberitahu, bank itu terus memperkukuhkan lagi usaha untuk membantu pelanggan bersasar yang terdiri daripada kumpulan pendapatan B40, M40 dan pelanggan perusahaan mikro.

“Kami sedia maklum bahawa pelanggan terutama perusahaan mikro masih memerlukan bantuan dan kami akan membantu menyalurkan dana yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Advertisements

Terdapat lima pilihan skim pembiayaan Islamik dan konvensional manakala pembayaran ansuran bulanan hanya akan bermula selepas bulan keenam.

Bagi mereka yang memerlukan dana untuk modal kerja atau perbelanjaan modal, BSN menawarkan BSN Micro/i PEMERKASA bagi perusahaan mikro yang mempunyai syarikat milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad.

Selain itu, BSN Micro/i PEMERKASA-NITA bagi usahawan wanita dan BSN Micro/i PEMERKASA MUDA bagi usahawan muda berusia 30 tahun dan ke bawah manakala dan BSN Micro/i PEMERKASA ISTIMEWA bagi usahawan orang kelainan upaya (OKU).

Pilihan terakhir adalah BSN Micro/i PEMERKASA MAMPAN bagi perusahaan mikro yang mempunyai syarikat milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad yang memerlukan dana bagi menampung kos tetap operasi perniagaan sehingga enam bulan termasuk gaji pekerja, bil utiliti dan sewaan.

Jenis sektor perniagaan yang layak untuk memohon pembiayaan di bawah skim berkenaan adalah dalam peruncitan dan pemborongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Usahawan mikro yang berminat boleh menghubungi bank berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan