34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tambahan RM500 juta GKP 3.0 mula dibayar hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Peruntukan tambahan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM500 juta bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang diumumkan melalui Pakej PEMERKASA+, akan dibayar mulai hari ini secara berperingkat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP.

Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir sejuta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Jelasnya, kerajaan telahpun memperuntukkan RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro telahpun dikreditkan ke dalam akaun penerima pada pertengahan Jun lalu.

“Ini merupakan komitmen kerajaan dalam menyokong perniagaan secara berterusan, terutamanya bagi PKS mikro dalam membantu aliran tunai mereka semasa tempoh yang masih mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selain itu, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi  (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan dibayar kepada penerima GKP sedia dan penerima baharu pada bulan September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500.

Bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro itu akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini.

Selain dari GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.

Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN.

Katanya, peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion.

“Jumlah ini termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej PEMULIH,”katanya.

Tambahan GKP 4.0, ketersediaan dana-dana pinjaman mudah dan bantuan-bantuan lain bertujuan untuk menampung keperluan pembiayaan PKS dan PKS mikro bagi menyokong perkembangan masing-masing selaras dengan pemulihan ekonomi yang digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara.

Jelasnya lagi, ini membuktikan kesungguhan dan usaha berterusan kerajaan dalam membantu perniagaan untuk kekal bertahan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Maklumat lanjut mengenai dana-dana ini serta bantuan-bantuan Kerajaan yang lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/ – Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan