CYBERJAYA – Dakwaan kekurangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di Jabatan Kecemasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ibu negara seperti ditular seorang individu adalah tidak benar.
Sebaliknya pengurusan hospital tersebut berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan PPE malah bekalan yang adalah sememangnya mencukupi.
“Pihak HCTM UKM dengan ini memaklumkan bahawa Hospital masih mempunyai bekalan PPE yang mencukupi dan Jabatan Perubatan Kecemasan antara Jabatan yang diberikan keutamaan untuk dibekalkan PPE memandangkan keperluan Jabatan tersebut.
Semakan stok di Jabatan tersebut juga mendapati tiada masalah kekurangan seperti yang dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menjawab satu dakwaan seorang individu konon Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM UKM mengalami kekurangan PPE sehingga ada kakitangannya tidak memakai peralatan itu dengan lengkap.

“Mak ayah awak ada tak kenal orang kaya-raya. Yang boleh sponsor (taja) PPE.
“Serius sangat, kesian tengok ED (Jabatan Kecemasan) HUKM. PPE tak cukup. Staf jaga pesakit Covid-19 tak pakai PPR lengkap. Topeng N95 kena beli sendiri,” tular individu terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.
HCTM UKM menjelaskan, pemakaian PPE dalam kalangan anggota petugas barisan hadapan adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia
“Sehubungan itu, pihak HCTM UKM menafikan ketidakcukupan PPE seperti yang didakwa,” katanya.
Bagaimanapun hospital tersebut tidak menjelaskan sama ada mereka akan membuat laporan polis terhadap penyampai berita tidak benar itu atau sebaliknya. – Edisi 9