25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

2 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DUA produk kosmetik didapati mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Dua produk itu ialah Beaute Treatment Cream dikesan mengandungi racun berjadual jenis hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala Beaute Nite Cream dikesan mengandungi racun berjadual jenis merkuri dan betamethasone 17-valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

“Susulan itu, notifikasi produk kosmetik Beaute Treatment Cream dan Beaute Nite Cream telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17- valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Jelas beliau, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Bahan itu boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi dalam kandungan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Advertisements

“Sementara itu, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Katanya, tretinoin pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari, manakala betamethasone 17-valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang memudaratkan.

Berikutan itu, Dr Muhammad Radzi berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan aktiviti tersebut dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Menurutnya, status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun Google Play Store. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan