PENYANYI, Vanessa Reynauld meluahkan rasa bangga apabila berjaya menyertai program nyanyian ‘Sing! China 2023’ yang terkenal di China.
Menurut penyanyi berusia 23 tahun itu, persembahan ketika peringkat ‘Blind Audition’ yang berlangsung Jumaat lalu, telah berjaya menambat hati empat mentor program berkenaan iaitu Emil Chau, Joker Xue, Will Pan dan Henry Lau.
Vanessa berkata, dia turut berdepan situasi sukar untuk membuat keputusan memilih siapakah mentornya.
“Jujurnya saya tidak meletakkan sebarang harapan cuma mahu fokus memberikan persembahan yang terbaik dan memuaskan hati mentor.
“Walaupun tidak ada seorang pun yang berpusing saya tidak menyesal kerana puas memberikan yang terbaik ketika membuat persembahan.
“Rasa gembira dengan sambutan luar biasa yang saya terima dan ramai sudah mula kenal dan memandang bakat saya.
“Melihat sokongan peminat Malaysia ia menambahkan lagi semangat saya untuk melangkah ke pentas akhir,” katanya.
Tidak menetapkan siapakah mentor pilihan untuk merekrut dirinya, Vanessa akhirnya memilih Emil demi kebaikan kerana dia memang cukup berpengaruh dan tepat membimbing genre nyanyian balada gadis itu.
“Saya berharap diberi peluang untuk membuat lebih banyak persembahan di pentas ‘Sing! China 2023’ dengan gaya yang berbeza pada masa akan datang,” katanya lagi.
Vanessa juga berjanji untuk memberikan sepenuh perhatian dan bekerja keras dalam setiap persembahan yang dilakukannya.
Program yang berlangsung di Huzhou, Shanghai China itu masih berlangsung di peringkat ‘Blind Audition’.
Dalam pada itu, video Vanessa menyampaikan lagu berjudul Riding The Wind di peringkat ‘Blind Audition’ turut mendapat pujian orang ramai termasuk peminat di Malaysia dan China.
Selain sibuk dengan persiapan bertanding untuk program berkenaan, Vanessa juga bakal melancarkan single terbaharunya berjudul Igau pada 25 Ogos ini. – Edisi 9