24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Pas bantah Pesta Songkran, penganjur tukar nama

Mesti Baca

BERIKUTAN mendapat bantahan daripada Pas, penganjur Pesta Songkran di Kampar, Perak telah menukar nama kepada Pesta Air Sahom.

Pengarah Urusan Sahom Valley Resort, Shariff Ali Jabad Ali berkata, pihaknya mengambil keputusan menukar nama festival yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Ogos itu, bagi mengelakkan kontroversi.

“Program ini pertama kali dianjurkan pada Mei lalu menggunakan nama pesta air dan mendapat sambutan hampir 500 pengunjung.

“Kita harapkan dengan penggunaan perkataan ‘Songkran’ kali ini ia mampu menarik lebih ramai pengunjung, tetapi berlaku sebaliknya apabila mendapat kritikan segelintir pihak.

“Oleh itu, bagi menghormati semua pihak program itu dijenamakan semula kepada Pesta Air Sahom kerana kami terkhilaf.

“Ia menjadi isu sensitif apabila disebut Songkran dan kami memohon maaf atas kekeliruan itu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Shariff berkata, penganjuran pesta air terbabit bukanlah seperti yang dilihat dalam perayaan Songkran masyarakat Siam, tetapi hanya sekadar aktiviti sukan air bagi pengunjung.

Advertisements

Katanya, istilah Pesta Songkran dalam hebahan yang dikeluarkan minggu lalu adalah kesilapan penganjur.

Namun begitu, mereka tiada niat untuk meniru pesta, acara keagamaan atau adat resam seperti di negara jiran itu.

“Kami ambil maklum teguran dan saranan semua pihak khususnya pejabat Adun Tualang Sekah termasuk penduduk kampung yang mempersoalkan penggunaan istilah terbabit,” katanya.

Shariff berkata penganjuran program itu antaranya bertujuan meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan menarik lebih ramai pelancong.

Terdahulu, Pemuda PAS Kampar membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort itu.

Ketuanya, Saiful Islam Abdul Rahman kesal dengan pengumuman terbuka penganjur kepada masyarakat untuk menghadiri festival itu yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip Islam.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan