PENGACARA dan pelakon, Jihan Muse mengakui terpaksa menolak tawaran berlakon buat masa ini demi memberi fokus terhadap anak keduanya, Ungku Altamis Barr yang kini berusia 11 bulan.
Jihan berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana mahu merasa momen menyusukan anak sepenuh masa berikutan tidak mempunyai peluang itu ketika melahirkan anak pertama.
“Saya mahu rasa bagaimana menyusukan anak sepenuhnya kali ini. Ketika melahirkan anak sulung saya tidak berpeluang melakukannya kerana sibuk dengan kerja.
“Habis sahaja pantang saya terus sibuk dengan pengacaraan dan lakonan sehingga tidak ada peluang menyusukan anak.
“Justeru, anak kedua ini saya mahu fokus betul-betul dan Alhamdulillah sehingga kini saya dapat memberi anak susu badan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program The Chosen One, baru-baru ini.
Jihan berkata, dia tidak menyesal apabila terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana baginya peluang merasai pengalaman menyusukan anak tidak akan datang selalu.
“Saya percaya pada rezeki, Insya-Allah jika usia anak 2 tahun dan saya boleh fokus semula dengan bidang seni.
“Lagipun saya dan suami tidak mengambil pembantu, sejak anak sulung lahir kami berdua bergilir-gilir menjaga anak dan menguruskan rumah tangga.
“Buat masa sekarang saya hanya mengambil projek yang tidak mengambil masa lama ketika saya di luar,” katanya lagi.
Mengulas mengenai program The Chosen One, Jihan bakal menjadi juri bergandingan dengan Hazama, Afieq Shazwan dan beberapa penyanyi lain sebagai mentor.
Jihan berkata, ini adalah pengalaman pertamanya berada di kerusi juri.
“Saya terima tawaran menjadi juri program ini kerana tertarik dengan konsepnya yang mengetengahkan bakat muda.
“Ini juga adalah pengalaman pertama saya menjadi juri, saya anggap ia satu tanggungjawab yang besar apatah lagi membabitkan peserta muda yang perlu kita bimbing,” katanya. -Edisi 9