28.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Butterfingers kembali gegarkan Stadium Malawati Oktober ini

Mesti Baca

SELEPAS kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November 2019, Butterfingers kembali lagi tahun ini.

Mereka ingin membawa pengikut-pengikut kultus menyusuri kembali imbauan nostalgia kegemilangan kemuncak muzik mereka dalam era album ke-4, Malayneum menerusi Konsert Malayneum 23.

Bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober depan, Butterfingers yang diterajui oleh LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, idea ini sudah lama tersimpan sebaik selepas kejayaan Konsert Transcendence 20.

“Disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, idea itu terbantut. Tahun 2023 ini kami lihat’cuaca’ agak baik untuk kami laksanakannya.

“Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kultus kami sentiasa dahagakan persembahan kami secara ‘live’.

“Kami juga percaya, tindak balas kimia yang kami salurkan apabila kami berempat berentap bersama di atas pentas sejak pasca Transcendence 20 bakal menggamit nostalgia serta mengukir memori baru baik kepada penonton juga kepada kami ahli kumpulan,” katanya.

LoQue berkata, Konsert Malayneum 23 ini diadakan salah satunya kerana pada tahun 2001 Butterfingers ketika itu sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album pertama iaitu 1.2 Milligrams.

“Ketika album ke-3 Butterfingers Transcendence belum selesai menempa nama di arus perdana, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus mengeluarkan album ke-4 iaitu Malayneum dengan bunyi-bunyian yang lain dari album-album sebelumnya.

“Dari perspektif syarikat rakaman, album ini telah dikira sebagai “bunuh diri secara komersial’ kerana kami (Butterfingers) telah pusing 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari bunyi-bunyian album Transcendence sebelum itu.

“Oleh kerana album Malayneum in dilihat sebagai janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu.

“’Tour’ (kembara) Malayneum tidak dapat diraikan sepenuhnya kerana telah dipendekkan.

“Oleh itu, album ini dianggap ‘setengah masak’ kerana kami tidak dapat bermain ‘live’ lagu-lagu dari album Malayneum secara menyeluruh,” katanya lagi.

Advertisements

LoQue berkata, Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu dari album Malayneum yang akan dimainkan dalam perspektif berbeza di era berbeza untuk semua yang hadir nanti.

Emmett yang bakal tampil bermain gitar semula atas permintaan ramai, mengakui teruja dan hanya berharap dapat ‘menghidangkan’ satu persembahan yang boleh dingati dan luar biasa.

“Apa yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas, kerana jika saya dapat rasai kepuasan itu sudah pasti anda semua yang hadir tentu akan lebih puas-sepuasnya,” katanya.

Emmett berkata, Malayneum adalah satu album ‘underrated’ yang lahir sebelum mereka memasuki “Era hiberasi peti ais” (hiatus) dan seluruh ahli kumpulan tidak dapat berpeluang meraikannya dengan secukupnya.

“Kebanyakan lagu-lagu dalam album ini juga kesemuanya jarang dimainkan di atas pentas dan ada yang langsung tidak pernah dipersembahkan.

“Album ini datang dengan bunyi-bunyian yang tidak ‘grunge’ seperti kebanyakan album yang kami ada,” katanya.

Lokasi konsert ini sekali lagi dipilih kerana kapasiti penonton yang boleh memuatkan sehingga lebih 8000 penonton dalam satu-satu masa.

Tiket konsert sudah mula dijual dan Zon tempat duduk dijual dengan harga bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season).

Manakala untuk zon berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum) sahaja.

Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise).

Maklumat lanjut dan pembelian tiket layari www.ticket2u.com. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan