PARTI komponen Barisan Nasional (MCA) mengambil keputusan menarik diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana bimbang sentimen kaum dan agama dipermainkan sebagai senjata politik.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kerjasama DAP dan UMNO menjadikan Pas sebagai sasaran bagi memomokkan dan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina.
Katanya, tindakan itu telah menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan.
“MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian untuk mengaut undi.
“Biarlah MCA membuat pengorbanan demi untuk kembali menjadi jambatan perhubungan etnik berlandaskan perlembagaan yang merupakan peranan tradisi parti sejak penubuhan negara.
“Ini walaupun dicabar dan dibenci penyokong Malaysian Malaysia yang dianjurkan DAP sebelum ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Lian Ker berkata, parti itu tidak bersetuju dengan penggunaan perpaduan semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiaya mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.
Oleh itu, MCA menyarankan bahawa kita semua adalah satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta.
“Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggukan.
“Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah. Lebih-lebih pagi penyokong Pas dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya,” tegasnya. – Edisi 9