27.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

MCA ‘sesat’, DAP lebih mengelirukan – Lian Ker

Mesti Baca

BEKAS Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mengakui MCA sedang berada dalam kesesatan namun DAP lebih mengelirukan.

Beliau turut mengakui kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mengatakan bahawa ‘MCA sesat’ adalah benar.

“MCA tidak pernah mencaci, mengejek atau mengaibkan parti lawan dan tetap setia bersama rakan seperjuangan pada masa susah dan senang.

“MCA juga tidak pernah menangguk di air keruh ataupun hanya mencari rakan dan lawan mengikut kesenangan dan kesesuaian politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Teresa Kok mendakwa MCA agak ‘sesat’ ketika menjawab soalan berhubung hubungan DAP dan MCA dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Teresa itu dibuat dalam satu wawancara terbitan media tempatan.

Berikutan itu, Lian Ker berkata, inilah beza MCA yang sesat demi menegak kebenaran dan DAP yang mengelirukan demi mencari kekuatan.

“Beza MCA dan DAP pula ialah MCA dipandang dan diterima sebagai satu parti yang sederhana dan juga pendekatan serta perjalanan politik MCA adalah berpaksikan kesederhanaan.

“MCA tidak pernah melaungkan retorik politik menghapuskan hak bumiputera yang termaktub dalam Artikel 153 perlembagaan persekutuan ataupun usaha ke arah itu.

“Hari ini MCA terpaksa berkerjasama dengan DAP dan umum mengetahui pengundi tradisi MCA selama ini terdiri daripada sebilangan besar pengundi Melayu yang mendokong perjuangan MCA sebagai sebuah parti yang tidak radikal,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, MCA dilihat akan kehilangan undi Melayu yang pada masa ini cenderung kepada Pas oleh kerana ketidakselesaan pengundi Melayu termasuk ahli UMNO dengan DAP terhadap gabungan kerajaan perpaduan ini.

Dalam situasi lain, DAP masih tidak mengiktiraf pengorbanan MCA demi mengutuhkan bersama kerajaan perpaduan ini dengan ketegasan mereka untuk kekal bertanding di kesemua kawasan yang dimenangi mereka pada PRU15 yang lalu, tanpa mengambil kira pengorbanan setiap parti yang menjadikan kerajaan perpaduan ini satu realiti.

“Sebaliknya, DAP memilih untuk terus mengejek MCA sebagai parti dua kerusi Parlimen atas sokongan pengundi majoriti Melayu,” katanya.

Lian Ker berkata, hakikat politik telah memaksa MCA menerima kerjasama bersama UMNO atas nama Parti Perikatan walaupun dituduh oleh cauvinis Cina pada masa itu bahawa MCA telah menggadai hak kesamarataan dengan kerjasama MCA dan UMNO.

“Hakikat politik juga memaksa MCA berkerjasama dengan Gerakan dan parti-parti pembangkang yang lain pada tahun 1969 demi meredakan ketegangan politik perkauman pada tahun 1969.

“Hakikat politik juga turut memaksa MCA untuk menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU15 yang lepas demi menstabilkan politik negara yang terumbang-ambing disebabkan oleh tohmahan politik dan provokasi politik dari parti DAP khususnya.

“Namun MCA kekal jelas dan rasional dalam memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana itulah nada, jiwa dan perjuangan MCA selama ini.

Tambahnya, sekarang kepimpinan MCA sekali lagi terpaksa menerima hakikat politik bahawa DAP telah merampas peranan MCA dalam kerajaan dan DAP juga sudah mula mengikut skrip dan pendekatan politik MCA selama ini.

“DAP yang memomokan pengundi bukan Melayu terhadap kerakusan kuasa, ketuanan politik UMNO kini sudahpun membuat pusingan U dengan memeluk dan menunduk kepada perjuangan UMNO.

“Bezanya pengundi Melayu masih lagi curiga dan berwaspada terhadap kewujudan dan kekuatan politik DAP yang dominan dalam kerajaan perpaduan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan