MCA diingatkan agar tidak membakar jambatan yang telah terbina kukuh lebih tujuh dekad pada saat situasi politik negara yang semakin kompleks dan mencabar masa kini.
Setiausaha Pemuda BN, Hafiz Ariffin berkata, sebaliknya parti-parti komponen termasuk MCA perlu mendepani krisis dan bangkit semula secara bersama.
“Pemuda-pemuda kita dahulu tidak gentar berdepan cabaran. Mereka bersatu di medan politik, hari ini kita harus terus mewarisi semangat itu.
“MCA juga telah banyak menerima manfaat daripada kerjasama ini. Bukan sepanjang masa dirugikan.
“Maka jangan kita menzahirkan perbezaan secara terbuka yang boleh melemahkan semangat perpaduan dalam gabungan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Pemuda MCA berhubung kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengecilkan pengaruh politik MCA.
Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li berkata, kerjasama itu bahkan akan mempercepatkan sert menjejaskan kelangsungan UMNO.
Heng berkata, jika trend ini diteruskan parti-parti komponen BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH.
Hafiz berkata, beliau sedia mengajak rakan-rakan dalam MCA untuk kembali ke meja rundingan dan berbincang sebagai satu keluarga.
“Kita boleh berbeza pandangan, tapi jangan kita hilang arah dan semangat yang sama-sama kita bina sejak dahulu.
“Pihak lain yang bertepuk tangan hanya menunggu untuk menikam dan menangguk di air yang keruh,” katanya.
Beliau turut mengimbau bagaimana kerjasama antara UMNO dan MCA merupaakan pakatan politik paling lama dan bersejarah di tanah air, bermula sejak tahun 1952 di bawah panji Parti Perikatan.
Katanya, pakatan ini bukan sekadar strategi politik, tetapi satu manifestasi kerjasama antara kaum demi mencapai kemerdekaan dan membina negara Malaysia yang berbilang bangsa.
“Fakta sejarah tidak boleh dipadam. Dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur tahun 1952, kerjasama UMNO-MCA berjaya menewaskan lawan dengan kemenangan besar.
“Ia menjadi bukti awal bahawa bila kita bersatu dan berpadu, kita mampu menewaskan sebarang cabaran.
“Pemuda-pemuda UMNO dan MCA telah menjadi penggerak utama kepada kemenangan Perikatan, menggalas amanah besar meyakinkan rakyat pelbagai kaum untuk memberi mandat,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum 1955 pula, jelas beliau, kerjasama itu diperluas dengan penyertaan MIC dan hasilnya, Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi Parlimen.
“Ia bukan pencapaian kecil, tetapi simbol kekuatan gabungan yang diasaskan atas perpaduan, toleransi, dan matlamat kebangsaan yang sama,” katanya. – Edisi 9

