MENTERI Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia bermula hari ini.
Wisma Putra menerusi kenyataan berkata, itu merupakan lawatan pertama Hakan ke Malaysia selepas dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Republik Turkiye pada 3 Jun lalu.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan pelbagai isu melibatkan kerjasama kedua-dua negara selaras dengan peningkatan taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai tahun lalu.
“Agenda utama perbincangan merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, serta sains dan teknologi.
“Kedua-dua menteri juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuklah isu-isu yang melibatkan umat Islam,” katanya hari ini.
Semasa lawatan ini, Hakan juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.
Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia – Turkiye meningkat sebanyak 12.6 peratus kepada RM20.25 bilion dari RM17 bilion pada tahun sebelumnya. – Edisi 9

