32.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Belasah Kelantan, JDT pecah rekod jaringan semusim

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berada di kelas tersendiri apabila merekodkan kemenangan 100 peratus dalam 17 perlawanan selepas membelasah Kelantan FC 5-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, malam tadi.

Turun tanpa dua tonggak utama, Arif Aiman Hanapi dan Jordi Amat sedikit pun tidak melemahkan skuad Harimau Selatan itu sebaliknya terus bernafsu menjaringkan gol.

Lima gol yang dihasilkan di Kota Bahru menyaksikan pendahulu Liga Super itu memecah rekod jaringan terbanyak semusim dengan kini merekodkan 67 gol dengan berbaki sembilan perlawanan.

Penyerang prolifik, Fernando Forestieri membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi percubaan deras dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Johan Shahzidane.

Oscar Arribas menggandakan jaringan JDT pada minit ke-22 selepas melakukan tandukan tipis yang berpunca daripada sepakan percuma.

Fazrul Amir terlepas peluang berharga untuk mencetak gol pertama tuan rumah apabila berjaya lolos masuk ke dalam kawasan penalti namun sepakannya hanya sipi ke sisi gawang.

Advertisements

Pada minit ke-60 menyaksikan Forestieri menghukum kesilapan benteng Kelantan apabila mudah menolak masuk gol ketiga pelawat untuk memastikan JDT terus selesa 3-0 di depan.

Pemain The Red Warriors sekali lagi melakukan kesilapan mudah apabila menghantar bola ke belakang tanpa menyedari kehadiran Bergson da Silva.

Penyerang import dari Brazil itu yang tidak dikawal mudah menyepak masuk menewaskan Johan Shahzidane.

Akhyar Rashid melengkapkan kemenangan bergaya JDT apabila meledak gol kelima pelawat pada minit ke-77.

JDT kini berkelebihan 17 mata mendahului liga meninggalkan Selangor di tempat kedua, bagaimanapun skuad Gergasi Merah itu beraksi kurang satu perlawanan dan akan turun menentang Penang FC malam ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sindiket seludup PATI Bangladesh tumpas, lapan ditahan

JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan...

Lagi Artikel Berkaitan