27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

JDT benam Ulsan Hyundai, terima kasih Akhyar

Mesti Baca

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menghidupkan peluang ke pusingan kedua apabila menewaskan pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC 2-1 pada aksi keempat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan skuad Harimau Selatan kepada kelab bimbingan Hong Myung Bo, 1-3 pada pertembungan di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu di Ulsan, Korea Selatan pada 24 Okt lepas.

Awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.

Gol pertama Juara Liga Super 2023 JDT hadir pada minit ke-44 menerusi rembatan luar kotak penalti Heberty De Andrade.

Babak kedua menyaksikan gawang JDT bimbingan Esteban Solari bocor apabila Ulsan Hyundai yang merupakan juara edisi 2012 dan 2020 meledak gol menerusi Ataru Esaka pada minit ke-69 perlawanan selepas menerima hantaran daripada Valeri Qazaishvili.

Advertisements

Bagaimanapun, tindakan membawa masuk Akhyar Rashid lima minit sebelum perlawanan tamat membawa tuah apabila sentuhan pertama pemain sayap itu menjelmakan gol kemenangan pada minit ke-86, hasil hantaran Arif Aiman Hanapi.

Tersentak dengan jaringan kedua itu, pelbagai cubaan dilakukan Ulsan Hyundai untuk menyamakan kedudukan namun tidak menemukan hasil.

Selepas ini, JDT akan berdepan dengan kelab Jepun, Kawasaki Frontale, 28 November ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke stadium keramat Harimau Selatan di sini untuk berdepan BG Pathum United dari Thailand, 12 Disember.

JDT kini berada di kedudukan ketiga di belakang Ulsan Hyundai dengan masing-masing memperoleh enam mata hasil empat perlawanan namun juara Liga K1 Korea itu mempunyai kelebihan jaringan. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Kumpulan Richiamo umum penstukturan jawatan baharu

KUMPULAN Richiamo Sdn Bhd mengumumkan penstrukturan syarikat dengan melibatkan pertukaran dan pelantikan baru bagi mengetuai anak-anak syarikat yang ditubuhkan...

Lagi Artikel Berkaitan