JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan telah menyambar bekas pemain Sporting Lisbon, Francisco Geraldes sebagai pemain import terbaharunya sebentar tadi.
Pengumuman tersebut dibuat oleh skuad Harimau Selatan menerusi satu video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Bekas pemain skuad Portugal B-21 dan seiras pemain Manchester City, Bernardo Silva itu bakal menyarung jersi No. 10 pada kempen Liga Malaysia musim baharu nanti.
Selain Sporting Lisbon, pemain kelahiran Portugal berusia 29 tahun itu pernah mewakili Rio Ave juga dalam Liga Portugal dan kali terakhir bergelar pemain import di Liga Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bersama pasukan Baniyas.
JDT sebelum ini kehilangan empat pemain import selepas Diogo Luis Santo mengesahkan persaraan selain melepaskan khidmat Leandro Velazquez dan Fernando Forestieri manakala kontrak Heberty selaku pemain pinjaman juga tidak disambung.
Geraldes menjadi import kedua yang ditandatangani skuad Harimau Selatan pada tahun ini selepas mengesahkan kehadiran pemain antarabangsa Syria, Jalil Elias minggu lalu.
Berdasarkan laman Transfermarkt, nilai pasaran semasa Geraldes atau nama penuhnya Francisco ‘Chico’ Oliveira Geraldes adalah sebanyak €2.5 juta (RM12.7 juta) sekali gus menjadi antara pemain termahal dalam Liga Malaysia ketika ini.
Skuad Harimau Selatan telah mencipta sejarah menjulang kejayaan double quadruple selepas mendominasi semua trofi Liga M pada musim 2022 dan 2023 yang lepas. – Edisi 9