25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Uniten tawar lebih banyak bidang industri, TVET di KSHAS

Mesti Baca

UNIVERSITI Tenaga Nasional (Uniten) sedang dalam kajian untuk memperkenalkan lebih banyak program pengajian yang relevan dengan industri selain program berkaitan TVET di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

Uniten dalam satu kenyataan berkata, untuk itu pihaknya telah menawarkan dua kursus baharu di peringkat diploma iaitu Diploma Teknologi Kewangan dan Diploma Perniagaan Digital di KSHAS.

Selain itu, katanya, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia untuk menjadikan Uniten KSHAS sebagai pusat yang diiktiraf menawarkan pelbagai pengiktirafan TVET.

“Langkah ini diharapkan akan menambah kakitangan, meningkatkan bilangan pelajar, dan memberi sumbangan kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat, dengan sasaran jumlah pelajar keseluruhan antara 1,500 hingga 2,000 orang,” kata kenyataan itu hari ini.

Uniten KSHAS mengadakan pelbagai program kemasyarakatan termasuk dengan golongan Orang Asli.

Beberapa hari lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak bersetuju dengan cadangan Uniten untuk menutup KSHAS di Muadzam Shah yang telah beroperasi sejak 2001.

Advertisements

Wan Rosdy seperti dilapor media berkata, penutupan Uniten KSHAS itu akan memberi implikasi yang tidak baik kepada anak-anak muda melanjutkan pelajaran dan merencatkan ekonomi setempat.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menjelaskan tiada sebarang usaha untuk menutup Uniten kampus tersebut sepertimana digembar-gemburkan.

Katanya, sehingga kini KPT tidak menerima sebarang makluman berhubung cadangan penutupan kampus tersebut.

Sementara itu, kenyataan Uniten itu berkata, pihaknya telah dan sedang melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memberikan impak positif kepada masyarakat serta menjalin hubungan yang erat dengan pemimpin tempatan serta pihak berkuasa.

Setakat hari ini, Uniten KSHAS mempunyai seramai 831 orang pelajar termasuk 22 orang pelajar antarabangsa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan