KERAJAAN Pahang bercadang untuk menghantar lebih ramai pelajar dari negeri itu melanjutkan pelajaran ke Jordan, termasuk dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada persetujuan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan, Prof. Dr. Azmi Mahmoud Mahafzah Ahad lalu.
“Insya-Allah, bilangan pelajar Pahang ke Jordan akan ditambah termasuk dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, tertakluk kepada persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Wan Rosdy sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Yarmouk , Jordan.
Wan Rosdy berkata, anugerah tersebut merupakan penghargaan buat rakyat negeri Pahang serta manifestasi kepada hubungan baik antara Pahang dan Jordan yang telah terbina sejak sekian lama.
Mengenai pembiayaan pendidikan, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh anak-anak Pahang di Jordan dan juga di negara-negara lain.
Beliau berkata, Yayasan Pahang selaku agensi bertanggungjawab diminta mengkaji semula jumlah pembiayaan dari semasa ke semasa.
“Saya dan kerajaan negeri senantiasa mengalu-alukan cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk cadangan untuk menawarkan tempat kepada pelajar asing di institusi pendidikan milik kerajaan negeri,” katanya.
Pada masa yang sama, Wan Rosdy berkata, kerajaan akan terus mempromosi di samping mempertingkat kemudahan yang ada di institusi terbabit, agar berupaya memenuhi piawaian yang sesuai dengan kehendak global.
Semalam, Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka berharap penganugerahan itu dapat mempererat hubungan dua hala antara universiti-universiti di Jordan dan Pahang dalam pelbagai bidang kursus pendidikan.
Di samping, katanya, ia juga diharap membuka lebih banyak ruang kerjasama yang bermanfaat, khususnya dalam usaha meningkatkan penghantaran lebih ramai anak-anak Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan.
“Pada masa yang sama, saya juga memohon agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan bantuan pendidikan memandangkan para pelajar kini menghadapi kesukaran akibat kos sara hidup yang semakin tinggi di Jordan,” katanya. – Edisi 9

