Tuesday, July 21, 2026

Tindakan MIC boleh jejaskan perpaduan dalam BN – Wan Rosdy

Jangan sesekali memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan BN ketika parti berdepan waktu sukar sebelum ini.

Mesti Baca

TINDAKAN MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

Justeru Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan parti-parti komponen BN agar berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang berkata, UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN.

“Malah, di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan yang lebih baik seperti di Pahang, MIC tetap diberikan tempat yang sewajarnya dan sering dipertahankan atas dasar kebersamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Shah Alam, Sabtu lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang rakan komponen BN terutama UMNO.

Sehubungan itu, Wan Rosdy menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh BN dan sama-sama membina kembali kekuatan kita secara kolektif.

Pada masa yang sama, tegas beliau, jangan sesekali memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan BN ketika parti berdepan waktu sukar sebelum ini.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,”katanya.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan