PENYEBARAN fitnah dalam media sosial kini dilihat sebagai ancaman besar kepada kesejahteraan masyarakat, kestabilan negara dan pembangunan mampan, kata Profesor Datuk Dr Ahmad Ibrahim dari UCSI University.
Beliau berkata, fenomena fitnah digital boleh disamakan dengan wabak berbahaya kerana ia merebak pantas, sukar dikawal dan memberi kesan jangka panjang terhadap masyarakat.
“Jika COVID-19 menyerang paru-paru dan sistem pernafasan, fitnah pula menyerang akal fikiran, hati dan hubungan sesama manusia. Lebih membimbangkan, fitnah di alam maya mudah tersebar tanpa sempadan, tanpa tapisan, dan tanpa pengesahan.
“Satu klik “share” atau “forward” di WhatsApp atau Facebook mampu memindahkan maklumat palsu ke ribuan individu dalam masa beberapa saat,” katanya menerusi artikel yang dikongsi bersama Edisi 9 hari ini.
Menurut beliau, fitnah bukan sahaja merosakkan reputasi individu, malah mampu menghancurkan kerjaya, institusi serta perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.
Ahmad menjelaskan, isu politik, agama dan kaum sering dijadikan bahan fitnah di media sosial hingga berpotensi mencetuskan kebencian, prasangka serta rusuhan maya yang akhirnya beralih ke dunia nyata.
“Fitnah politik yang tidak bertanggungjawab boleh merosakkan kredibiliti institusi awam, menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mengganggu kestabilan ekonomi negara.
“Dalam jangka panjang, masyarakat yang dibelenggu budaya fitnah akan hilang rasa hormat terhadap kebenaran, nilai moral dan norma sosial yang selama ini menjadi asas keharmonian negara,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, Felo Bersekutu di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya itu berkata, ramai penyebar fitnah terdiri daripada ahli politik, malah pemimpin negara turut menjadi mangsa manipulasi siber.
Katanya lagi, berbeza dengan COVID-19 yang mempunyai vaksin dan protokol kesihatan, fitnah digital sukar dipadamkan walaupun posting asal telah dipadam atau penafian dibuat.
“Salinan fitnah akan terus berlegar di alam maya, dan lebih berbahaya apabila ia diselit dengan separa kebenaran, manipulasi gambar serta video yang diubahsuai,” katanya.
Mengulas langkah pencegahan, Ahmad menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi sebaliknya pendidikan literasi digital dan etika media sosial perlu diperkasa sejak peringkat sekolah hingga masyarakat umum.
“Platform media sosial juga perlu lebih proaktif menapis kandungan, manakala masyarakat dididik supaya tidak menyebarkan maklumat tanpa pengesahan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa tanpa tindakan kolektif, fitnah digital akan menjadi ‘virus sosial’ yang perlahan-lahan melemahkan perpaduan dan mencemarkan tamadun bangsa. – Edisi 9

