KEPUTUSAN MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai manifestasi kesetiaan serta kematangan politik yang tinggi dalam landskap semasa negara.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC atas keputusan yang jelas, tegas dan berpandangan jauh itu.
Menurut beliau, pendirian tersebut bukan sekadar reaksi politik semasa, sebaliknya mencerminkan akar sejarah panjang kerjasama yang telah terbina sejak era Perikatan (1955–1973) sebelum diperkukuh melalui BN sejak 1974 hingga kini.
“Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian, daripada cabaran perkauman, tekanan politik, hinggalah kepada perubahan landskap nasional, namun BN masih kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, keputusan MIC itu juga berasaskan justifikasi yang kukuh dan rasional, antaranya dari segi keperluan terhadap kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran dalam keadaan semasa yang semakin tidak menentu.
“Dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan satu platform yang stabil dan berpengalaman.
“BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, menjadikannya satu wadah yang masih relevan,” katanya.
Tambah beliau, kekuatan utama BN terletak pada muafakat pelbagai kaum yang telah lama menjadi asas kepada keharmonian negara.
“Dalam konteks Malaysia yang majmuk, kekuatan ini amat penting untuk memastikan keharmonian sosial terus terpelihara,” tambah beliau.
Pada masa sama, Zambry menegaskan BN juga tidak statik, sebaliknya sedang melalui proses pembaharuan termasuk penstrukturan semula organisasi dan pendekatan yang lebih responsif terhadap kehendak rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan tersebut turut menghantar isyarat jelas penolakan terhadap politik perpecahan yang boleh menjejaskan kestabilan sedia ada.
“Dalam suasana di mana terdapat usaha untuk memecah-belahkan kesatuan sedia ada, keputusan ini menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” katanya.
Sehubungan itu, usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan bagi memastikan gabungan tersebut kekal utuh dan berdaya saing.
“Selagi semangat kesatuan ini dipertahankan dengan jujur dan ikhlas, sebarang cubaan untuk melemahkan atau memecah-belahkan gabungan ini akan dapat ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kekuatan dalaman,” katanya.
Beliau menambah, keputusan MIC itu bukan sahaja penting untuk masa kini, malah menjadi asas kepada masa depan politik negara yang lebih stabil, sederhana dan sejahtera.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, parti itu membuat keputusan untuk mengekalkan status quo dan kekal bersama BN buat masa ini susulan perubahan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, apabila keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Pengerusi PN.
Saravanan bagaimanapun berkata, dengan Pas kini menerajui gabungan pembangkang susulan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bulan lalu, MIC perlu menilai sentimen masyarakat India sebelum membuat sebarang keputusan.
Sebelum ini Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan permohonan MIC untuk menyertai gabungan parti iti telah diterima dan diluluskan. — Edisi 9

