PENGUNJUNG pusat membeli-belah 3 Damansara, Petaling Jaya bakal menikmati pengalaman baharu yang lebih segar dan imersif dengan pembukaan Idea Live Arena, sebuah dewan acara persembahan langsung dan hiburan antarabangsa yang serba baharu.
Terletak di tingkat dua dengan keluasan bersih boleh disewa (NLA), kira-kira 61,000 kaki persegi, pengendali dewan acara antarabangsa tersebut memilih 3 Damansara untuk memulakan operasinya di Malaysia buat pertama.
Dinamakan Idea Live Arena, dewan dengan ruang pelbagai guna dan kemudahan premium itu sesuai untuk pelbagai acara korporat, komersial dan hiburan.
Dengan kapasiti tempat duduk sehingga 5,000 dan dilengkapi teknologi terkini, Idea Live Arena ialah arena tertutup terbesar dalam pusat beli-belah di Malaysia, menjanjikan pengalaman yang unik dan dinamik untuk semua pengunjung.
Pengarah Urusan, Runcit, Pengurusan Komersial, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, ia merupakan sebahagian daripada fasa pembaharuan yang dilaksanakan di pusat membeli-belah tersebut.

“Sebagai sebahagian daripada pelan penambahbaikan 3 Damansara, kami teruja untuk memperkenalkan dewan acara hiburan dan persembahan langsung antarabangsa yang baharu, sekali gus mempertingkatkan pengalaman gaya hidup dan membeli-belah untuk para pengunjung kami.
“Pengunjung boleh menantikan kalendar acara menarik yang mampu menarik ramai pengunjung di Idea Live Arena,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam usaha memantapkan kedudukannya sebagai hab komuniti pilihan di Lembah Klang, 3 Damansara bakal memulakan fasa seterusnya dalam pelan penambahbaikan pada separuh kedua 2025.
Katanya, inisiatif peningkatan aset itu akan memberi tumpuan kepada penstrukturan semula lebih 21,000 kaki persegi ruang NLA di aras bawah pusat beli-belah.
Selina berkata, antara penstrukturan ialah kawasan makan alfresco yang diperluas dan dinaik taraf bagi menerima jenama makanan dan minuman (F&B) baharu yang lebih menarik.
“Pelan penambahbaikan 3 Damansara merupakan strategi yang dirancang secara berfasa dan teliti, mencerminkan komitmen kami untuk berkembang seiring dengan keperluan gaya hidup dinamik pengunjung.
“Walaupun transformasi penuh akan berlaku secara berperingkat, pengunjung akan dapat menyaksikan kemunculan jenama-jenama yang dikurasi dengan teliti, selaras dengan empat teras utama,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan itu direka untuk mencipta pengalaman pusat beli-belah sehenti yang meriah, memenuhi keperluan komuniti kediaman dan pejabat di sekitarnya, sambil memupuk rasa keterikatan dan penglibatan yang kukuh.
“Selepas kejayaan revitalisasi aras bawah tanah pada 2024, AEI yang akan datang di aras bawah akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman makan alfresco dan memperluaskan tawaran F&B kami.
“Bersama kemasukan penyewa baharu secara berperingkat, perubahan ini akan terus mengukuhkan kedudukan 3 Damansara sebagai hab gaya hidup dan komuniti yang wajib dikunjungi,” tambah Selina.
Sejak pelan penambahbaikan bermula pada tahun 2023, 3 Damansara berjaya memperkenalkan lebih 30 jenama baharu merangkumi empat teras utama – keperluan harian dan perkhidmatan; makanan dan minuman; kecantikan dan kesihatan serta gaya hidup bandar.
Penambahan ini telah memberi nafas baharu dalam aspek senarai penyewa, meningkatkan tawaran pusat beli-belah bagi memenuhi keperluan komuniti kediaman dan pejabat yang padat di kawasan sekitarnya. – Edisi 9

