CAPITALAND Investment (CLI), pengurus aset sebenar global, melancarkan CapitaPlus, hab digital pelbagai ganjaran yang menggabungkan pengalaman membeli-belah fizikal dan digital dalam satu platform bersepadu.
Dilancarkan pada 3 Oktober lalu, inisiatif tersebut menandakan komitmen CLI terhadap inovasi digital, amalan mampan dan strategi runcit berdaya tahan seiring ulang tahun ke-25 Kumpulan CapitaLand.
Menurut Pengarah Urusan CLI (Malaysia), Selina Ng, CapitaPlus membolehkan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih lancar dan diperibadikan, di samping memberi nilai tambah kepada peruncit.
“Menawarkan pengalaman runcit tanpa halangan adalah penting untuk menghubungkan pelanggan dengan peruncit kami.
“CapitaPlus merealisasikan visi ini melalui pendekatan digital-first yang meningkatkan perjalanan pelanggan serta memperkukuh ekosistem runcit mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, platform mesra mudah alih itu membolehkan pengguna mendaftar secara percuma, memuat naik resit pembelian dan menebus ganjaran serta-merta termasuk e-baucar dan promosi eksklusif.
Katanya, dalam masa enam hingga lapan bulan akan datang, CLI akan memperluas ciri CapitaPlus dengan penyertaan automatik dalam cabutan bertuah, keistimewaan ahli Kids’ Club dan pelancong, serta rebat parkir dan pembelian.
“Selain memudahkan pengguna, CapitaPlus juga menyokong matlamat kelestarian CLI dengan mengurangkan penggunaan kertas melalui sistem penebusan digital,” jelas beliau.
Bagi peruncit pula, Selina berkata, CapitaPlus berfungsi sebagai platform berimpak tinggi melalui kempen tersasar, e-baucar dan analisis data masa nyata yang membantu merangsang jualan serta memperkukuh hubungan pelanggan.
Katanya, pendekatan berasaskan data itu mengubah hubungan sewaan tradisional kepada perkongsian strategik dinamik antara CLI dan penyewa.
Sementara itu, sempena pelancaran CapitaPlus, CLI menganjurkan kempen “Top Spender Takes Off with ASEAN Explorer Pass” dari 3 Oktober hingga 2 November 2025, menawarkan peluang kepada ahli baharu untuk memenangi AirAsia ASEAN Explorer Pass iaitu pas penerbangan tanpa had ke seluruh ASEAN selama setahun.
Tujuh pembeli tertinggi di setiap pusat beli-belah CapitaLand yang mengambil bahagian akan diumumkan sebagai pemenang. — Edisi 9

